48 buah rumah komuniti dibina di Besut tahun ini


BESUT - Sebanyak 48 buah lagi rumah komuniti akan dibina dalam Parlimen Besut tahun ini sebagai usaha membantu penduduk yang kurang berkemampuan memiliki rumah sendiri.

Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh berkata rumah berkenaan dibina menggunakan kaedah Sistem Pembangunan Industri (IBS) dengan kerjasama pelajar-pelajar kolej komuniti di seluruh negara dan syarikat swasta.

Idris yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata menerusi kaedah itu, tempoh pembinaan hanya mengambil masa 20 hari dan kos pembinaan juga rendah iaitu kira-kira RM20,000 seunit.

"Sejak projek tersebut dilaksanakan tahun lepas sebanyak empat buah rumah berjaya disiapkan oleh pelajar kolej komuniti untuk penduduk di Kampung Padang Landak dan Kampung Seberang Kastam.

"Dua buah rumah lagi di Kampung Tembila dan Kampung Gelam Mas dibina oleh syarikat swasta," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci rumah kepada seorang ibu tunggal, Nora Mohmad, 52, di Kampung Seberang Kastam, dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, Idris berkata sebanyak 300 buah rumah di daerah Besut telah dipilih untuk pendawaian semula elektrik sepanjang tahun ini di bawah Program Politeknik Kasih Besut.

Katanya, keutamaan membabitkan rumah penduduk miskin yang pendawaian elektriknya didapati telah uzur dan perlu diperbaharui semula.

"Sehingga semalam sebanyak 42 buah rumah telah berjaya dilakukan pendawaian baharu oleh pelajar Politeknik dari Dungun, Kuala Terengganu dan Kota Bharu  secara percuma," katanya.

Menurutnya menerusi program itu, ia bukan sahaja memberi peluang kepada penduduk miskin memiliki rumah dan pendawaian elektrik baharu, malah dapat memberi pengalaman bekerja untuk pelajar berkenaan," katanya. -Bernama