Nasib bekas pelajar dapat perhatian


KUALA BESUT - Kegagalan seorang bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pangkalan Chepa, Kelantan untuk mendapatkan slip keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kelmarin kerana masalah hutang tertunggak dengan pihak sekolah mendapat perhatian wakil rakyat setempat.



Siti Nur Sulwana Sabri 18, dari Kampung Kayu Kelat di sini  yang kini bekerja sambilan sebagai pembantu taska di Negeri Sembilan dikatakan gagal mendapatkan  slip tersebut kerana dia mempunyai tunggakan yuran sekolah yang belum dijelaskan.

Pelajar cemerlang itu dikatakan memperoleh keputusan 9A dalam peperiksaan itu.

Siti Nur Sulwana dikatakan menghubungi bapanya, Sabri Awang, 52,  dari Negeri Sembilan  memberitahu dia perlu menjelaskan  yuran dianggarkan RM500  terlebih dahulu  sebelum  bapanya boleh pergi mengambil  slip peperiksaan.

“Pendapatan yang tidak seberapa dan menyara lima anak yang masih bersekolah menyebabkan saya tidak mampu sediakan wang untuk bayar yuran  dan keperluan lain,” kata Sabri yang baru bertugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah klinik di sini.

Dia yang sebelum ini bekerja kampung perlu menyara empat lagi anaknya yang masih bersekolah,  Mohamad Syarafuffin di Kolej Vokasional Besut, Muhammad Safaruddin di SMK Kuala Besut, Siti Nur Sulwani dan Muhammad Syariffuddin di SK Alor Peroi.

Sabri tidak salahkan sekolah kerana dia sedar memang menjadi keperluan sekolah melaksanakan peraturan seperti itu untuk memastikan hutang sekolah dijelaskan.

“Saya bukan tidak mahu bayar tetapi wang tidak seberapa yang diperoleh terpaksa digunakan kepada urusan persekolahan adik-adik Siti Noriza terlebih dahulu,” katanya.

Adun Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman pula apabila mengetahui masalah dihadapi keluarga ini segera ke rumah Sabri kira-kira jam 1 pagi semalam selepas selesai menghadiri i Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri di Kuala Nerus.

“Kita tidak boleh salahkan pihak sekolah kerana ia adalah prosedur biasa tapi ia mungkin ada kesilapan komunikasi sedikit di pihak Sabri apabila dia tidak bertemu pihak sekolah memaklumkan perkara sebenar dulu tentang ketidakmampuan keluarganya.

“Saya yakin sekiranya Sabri berbincang dengan  pihak sekolah, sudah tentu pihak sekolah akan mengambil perjalanan untuk membantu Siti Nur Sulwana,” katanya yang akan pergi bersama keluarga Sabri ke MRSM Pangkalan Chepa untuk menjelaskan yuran dan mengambil keputusan peperiksaan itu esok.