Karnival Jom Masuk U Meriah


Karnival Pengajian Tinggi Negara Jom Masuk U yang berlangsung di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang bermula semalam menerima kehadiran ribuan pengunjung.

Karnival tahunan selama dua hari itu diadakan sejak tahun 2005 dengan beberapa lokasi menjadi pilihan di seluruh negara



Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh berkata, karnival seumpama itu yang menggunakan tagline ‘Jom Masuk U’ mampu menjadi tempat rujukan terbaik atau dianggap ‘One Stop Centre’ kepada orang ramai.

“Program tahunan itu turut menyediakan maklumat akreditasi dan pembiayaan kepada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf, pelajar lepasan asasi, diploma, sijil dan diploma kemahiran

“Karnival itu sudah tentu mampu mendidik dan memupuk kesedaran di kalangan pemohon dan masyarakat awam mengenai pelaksanaan permohonan kemasukan ke IPTA melalui Aplikasi Dalam Talian (Online),” katanya selepas merasmikan program itu hari ini.

Lebih 50 institut pengajian tinggi awam dan swasta serta beberapa agensi kerajaan terlibat dalam karnival ini.

Turut serta ialah institusi berkaitan kemahiran di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Jabatan Tenaga Manusia (JTM) serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Sepanjang dua hari karnival itu berlangsung, beberapa gerai pembiayaan pelajar seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) turut mengambil bahagian.

Idris menambah, ini merupakan satu karnival ‘masa hadapan’, di mana menentukan hala tuju remaja lepasan sekolah untuk memilih kursus yang ditawarkan selain penempatan dalam universiti mahupun kolej universiti.

”Kita dapati mereka yang hadir terdiri daripada 60 peratus adalah pelajar, selebihnya guru dan ibu bapa,” ujarnya