Lega slip SPM dalam tangan


KUALA BESUT - Masalah lewat memperoleh keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 yang dihadapi seorang bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa, Kelantan, selesai kelmarin.

Siti Nur Sulwana Sabri, 18, mengambil slip peperiksaan tersebut di sekolah itu dengan ditemani Adun Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dan bapanya, Sabri Awang, 52.

Pelajar terbabit bersyukur dan gembira selepas menerima slip peperiksaan tersebut dan mengesahkan dia memang mendapat keputusan 9A seperti dimaklumkan kepadanya sebelum ini.

Siti Nur Sulwana dari Kampung Kayu Kelat, di sini, sebelum ini tidak dapat mengambil slip peperiksaan kerana dikatakan mempunyai tunggakan hutang yang belum dijelaskan kepada pihak sekolah hingga masalahnya diviralkan sesetengah pihak.

“Syukur dapat juga lihat slip ini, masalah timbul sebab salah faham dan pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan khususnya wakil rakyat dan pihak sekolah,” katanya yang bertugas sebagai pembantu guru tadika di Seremban, Negeri Sembilan, dan pulang untuk mendapatkan slip tersebut.

Sebelum ini, Tengku Zaihan apabila mengetahui kisah keluarga dan pelajar ini terus ke rumah Sabri jam 1 pagi Jumaat lalu, untuk mendengar masalah sebenar.

Beliau berjanji membawa pelajar terbabit dan bapanya bertemu pihak pengurusan sekolah bagi menyelesaikan masalah seterusnya memastikan Siti Nur Sulwana mendapat slip peperiksaannya.

“Dalam pertemuan singkat kelmarin, kedua-dua pihak memahami perkara itu timbul disebabkan sedikit salah faham dan disebarkan pihak tertentu menerusi laman sosial.

"Malah saya tidak menyalahkan pihak sekolah sekiranya benar sekolah meminta pelajar menjelaskan yuran tertunggak terlebih dahulu sebelum mendapat slip peperiksaan.

“Ini prosedur biasa oleh mana-mana sekolah, tetapi disebabkan masalah komunikasi di pihak pelajar yang tidak memaklumkan kepada pihak sekolah tentang kesusahan hidup mereka menyebabkan pihak sekolah tidak mengetahui perkara sebenar,” katanya.

Tengku Zaihan berkata lagi, apabila pihak MRSM mengetahui kedudukan sebenar keluarga Siti Nur Sulwana hasil pertemuan kelmarin, pihak MRSM bersetuju mengecualikan bayaran tunggakan hutang ditanggung pelajar itu.

Justeru, beliau menasihatkan ibu bapa yang berdepan masalah atau kesukaran menjelaskan yuran berkaitan di mana-mana sekolah, tampil berjumpa dengan pihak pengurusan sekolah.

“Insya-ALLAH kalau benar-benar tidak mampu pihak sekolah akan membantu atau memberi pandangan sewajarnya,” katanya.

Sinar Harian kelmarin melaporkan kisah  pelajar cemerlang, Siti Nur Sulwana tidak dapat memperoleh slip peperiksaan kerana tidak menjelaskan yuran tertunggak.



Siti Nur Sulwana menerima slip SPM yang disampaikan pihak sekolah yang turut disertai Tengku Zaihan (kanan) dan Sabri (dua, kanan) di MRSM Pengkalan Chepa.