Banjir: RM3 juta disalur kepada setiap negeri


KEMAMAN - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memperuntukan RM3 juta kepada setiap negeri sebagai persediaan menghadapi banjir pada tahun ini.    



Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, peruntukan itu meliputi keperluan asas mangsa, penggantian stok barangan yang mempunyai tarikh luput dan pelaksanaan program latihan dan simulasi bencana.

"Antara penambahbaikan yang dilakukan kali ini ialah pusat pemindahan mangsa banjir tidak lagi tertumpu kepada sekolah dan dewan orang ramai sahaja.

"Sebaliknya, JKM telah menyenaraikan 73 pusat pemindahan banjir yang berkapasiti besar selain 2,131 sekolah dan 3,004 dewan orang ramai, balai raya dan pusat komuniti yang mampu menampung hampir 1.56 juta mangsa pada satu-satu masa, " katanya.  

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2016 yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata stok dan keperluan makanan telah disimpan di lima depoh di seluruh negara iaitu di Bedong (Kedah), Sungai Buloh (Selangor), Kemumin (Kelantan), Marang  (Terengganu) dan Muar (Johor).

"JKM juga sudah mewujudkan 96 stor bencana dan 569 pengkalan hadapan untuk menyimpan barangan keperluan mangsa di lokasi yang strategik. Malah, JKM juga telah mengenal pasti beberapa pembekal besar di setiap negeri seperti Tesco dan Mydin untuk membantu sekiranya stok keperluan sedia ada tidak mencukupi.

"Paling penting dan perlu diberi tumpuan ialah pengisian kerohanian iaitu kaunseling kepada mangsa banjir kerana mereka ini trauma, sedih dan bimbang kerana terpaksa berpindah dari rumah.

"Ini perlu diberi perhatian terutama kepada kanak-kanak, pesakit terlantar dan wanita. Setakat ini kita mempunyai 183 kaunselor di seluruh negara namun jumlah itu masih belum mencukupi.

"Oleh itu, kita akan gerakkan lebih ramai sukarelawan dari Komuniti Perwani 1Malaysi untuk membantu memberi khidmat kaunseling kepada mangsa banjir," katanya. - Bernama