'Langkah Kajang' gagal - Muhyiddin


HULU LANGAT 12 Mac - Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan 'Langkah Kajang' diilhamkan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli yang kononnya mahu menjadikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang sebagai pentas strategik menawan Putrajaya telah gagal.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, ini kerana Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bertanding dalam PRK tersebut selepas disabitkan kesalahan dengan kesnya di mahkamah.

"Apa dia langkahnya? Langkah paling besar dalam gerakan Kajang ialah untuk membolehkan Anwar bertanding dan menjadi Menteri Besar Selangor.

"Malangnya cita-cita sudah berkecai. Tinggal angin sahaja masuk, udara tiada apa-apa," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat daerah mengundi Taman Mesra, Kajang di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, 'Langkah Kajang' yang asal ialah PKR meminta wakil rakyatnya di Kajang meletak jawatan bagi membolehkan Anwar bertanding dalam pilihan raya di kawasan berkenaan.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan berlakunya rampasan kuasa Kajang (Kajang Coup) dan beliau mempersoalkan apakah pula 'Langkah Kajang' yang kedua ingin dilaksanakan PKR.

"Apakah bermakna Rafizi hendak mempermainkan sistem pilihan raya dan oleh kerana negara kita mengamalkan sistem demokrasi, nanti suruh letak jawatan untuk orang lain bertanding di situ.

"Saya fikir rakyat tidak akan membiarkan itu berlaku. Kita perlu hukum parti yang mempermainkan sistem demokrasi sebegitu," katanya.

Tambah beliau, rakyat tidak mahu selamanya berdepan PRK demi PRK dan tujuan pilihan raya diadakan adalah untuk melantik wakil yang akan berjuang membela nasib rakyat.

Namun, kata beliau, apabila setiap kali PRK diadakan hanya kerana nafsu rakus politik pakatan pembangkang, rakyat harus sedar.

Beliau berkata, masa sekarang adalah untuk bekerja selepas selesai pilihan raya umum.

"Sebab itu, saya rasa cukup malang kalau orang seperti Rafizi yang kononnya sebagai strategis pakatan pembangkang hendak membawa mesej ini menerusi PRK demi PRK.

"Sampai bila hendak diadakan PRK kecuali ada sebab tidak dapat dielakkan," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, BN akan melihat kesesuaian untuk menawarkan manifesto khas bagi PRK DUN Kajang.


© Utusan Melayu (M) Bhd