Pr Kering Modal Bila cuba Manipulasi Keputusan Mahkamah


KAJANG, 12 Mac – Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melahirkan keyakinan  bahawa pengundi di DUN Kajang  bijaksana untuk menilai isu keputusan mahkamah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang cuba dimanipulasi pihak pembangkang untuk menagih undi.

Tegas beliau kes ini merupakan kes antara Anwar Ibrahim dengan Saiful Bukhari, bukannya kes antara Anwar dengan kerajaan, bukannya seperti dakwaan pihak pembangkang kononnya keputusan mahkamah ini merupakan permainan UMNO dan Barisan Nasional.

“Ada tuduhan mengatakan keputusan mahkamah ini dibuat pada pilihan raya kecil, ini adalah satu perbuatan Barisan Nasional.

“Itu adalah satu perkara (tuduhan) yang tidak bertanggungjawab kerana kes beliau (Anwar Ibrahim) telah tertangguh berpuluh-puluh kali. Pastinya mahkamah ada pertimbangan sendiri dan hakim membuat keputusan berdasarkan pertimbangan perundangan, fakta, bukti yang ada dalam kes tersebur,” ujarnya  selepas membuat lawatan ke Pusat daerah Mengundi Taman Mesra di sini, hari ini.

Tambah beliau lagi pihak pembangkang nampaknya macam sudah kering modal sehingga kes-kes yang mendatang seperti kes keputusan mahkamah yang melibatkan Anwar Ibrahim, kes yang melibatkan Karpal Singh, dan isu kehilangan pesawat MAS MH370 digunakan juga untuk meraih simpati rakyat khususnya pengundi di DUN Kajang ini.

Hakikatnya ketika ini jelas beliau ramai yang sudah mempersoalkan mengapa Wan Azizah pula yang bertanding di DUN Kajang ini.

“Mengapa kalau Anwar tak boleh bertanding diganti dengan Wan Azizah? Mengapa amalkan nepotisma sedangkan mereka dulu pernah menuduh BN mengamalkan nepotisma.

“Inilah bukti bahawa merekalah yang mengamalkan nepotisma walaupun memang mereka ada hak untuk memilih calon mereka, tapi mengapa mereka tak pilih calon lain seperti memilih calon dari kaum Cina sepertimana sebelum ini, pasal kawasan ini pernah dimenangi oleh PKR dari kaum Cina. Jadi, banyak perkara yang dilakukan oleh PKR ini seharusnya memberikan kesedaran kepada pengundi mengenai amalan serong ataupun songsang yang berlaku dalam parti PKR khususnya,” ujarnya lagi. -MediaUMNO