Masjid Lapan Kubah Sumbangan Rakyat


Penduduk Kampung Lapan Kotak, Jertih di Besut maju setapak lagi dalam pembangunan syiar Islam negeri ini apabila  terbinanya sebuah masjid hasil derma dan sumbangan orang ramai.



Masjid lapan kubah bernilai RM8 juta itu sudah memasuki fasa pertama pembinaannya sejak November tahun lalu.

Bagi menggalakkan orang ramai khususnya masyarakat Islam daerah itu menyampaikan sumbangan derma, pihak Jawatankuasa Masjid berkenaan telah menganjurkan majlis jamuan teh di perkarangan masjid itu semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan, Perladangan dan Komoditi negeri, YB. Nawi Mohamad yang juga Ketua UMNO Bahagian Besut, merasmikan pelancaran kutipan derma berkenaan.

Turut hadir, ADUN Kuala Besut, YB. Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman serta pegawai kanan kerajaan daerah itu.

Nawi yang juga ADUN Hulu Besut berkata, pembinaan masjid itu kini berjalan lancar dan ia dijangka dapat disiapkan akhir 2015.

Katanya, penduduk sekitar daerah itu diminta tanpil mengulurkan sumbangan bagi memastikan pembinaan masjid itu berjaya dan menjadi kenyataan.

“Saya sendiri akan berusaha bersama-sama kepimpinan UMNO di Besut merealisasikan hasrat itu,” katanya ketika melancarkan kutipan itu.

Selain itu, katanya, mulai semalam semua masjid di Daerah Besut yang mengadakan kutipan mingguan selepas solat Jumaat akan turut menderma kepada tabung pembinaan masjid terbabit.