Terengganu Lulus Tambahan RM4 Juta Tabung Penyakit Kronik


Kerajaan Terengganu meluluskan peruntukan tambahan RM4 juta untuk Tabung Penyakit Kronik bagi membantu pesakit yang memerlukan perhatian segera dan rawatan komprehensif.



Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, YB. Muhammad Pehimi Yusof berkata peruntukan itu diluluskan dalam mesyuarat mingguan Exco dua minggu lalu.

“Sehingga kini, tabung yang menyediakan dana keseluruhan berjumlah RM10 juta menerusi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (SUK) itu sudah membiayai hampir 2,000 pesakit sejak ditubuhkan pada tahun 2010,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan seminar Mukmin Profesional sempena Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pembelajaran Pasca Siswazah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), baru-baru ini.

“Selain Tabung Penyakit Kronik ini, Terengganu juga mempunyai satu lagi skim bantuan iaitu Dana Perubatan Sosial sebanyak RM2.5 juta setiap tahun yang diuruskan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu untuk pembelian pelbagai peralatan bagi membantu pesakit.

“Melalui dana ini, pesakit diberi bantuan seperti kerusi roda, kaki palsu, susu khas dan katil. Ia diakui banyak melegakan beban kewangan rakyat, terutama golongan berpendapatan sederhana dan miskin,” katanya.