Besut dipilih program perantis kurangkan penagih dadah


BESUT – Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Jabatan Perdana Menteri telah memilih daerah Besut bagi program perintis mengurangkan bilangan penagih dadah.

Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh memberitahu usaha yang bermula Mac ini akan mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk Universiti Sains Malaysia (USM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan polis.

Katanya, mengikut kajian dijalankan oleh Pemandu dan USM, didapati kira-kira tujuh peratus daripada bilangan penduduk Besut telah menagih dadah dan angka tersebut dianggap sebagai membimbangkan.

Bagaimanapun, Idris yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata, keadaan tersebut masih boleh dikawal melalui rawatan dengan memastikan setiap penduduk menjalani gaya hidup sihat.

"Melalui program itu nanti pelbagai pihak di Besut akan bekerjasama untuk mengenal pasti penagih dadah dan seterusnya memujuk mereka menjalani rawatan", katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Perintis Mengurangkan Penagihan Dadah di Besut hari ini.

Idris berkata, dalam tempoh enam bulan bermula Mac nanti, semua pihak termasuk penduduk kampung akan turut memantau, melapor dan mengenal pasti mereka yang menagih untuk dicadangkan mengkuti rawatan yang disediakan oleh pihak tertentu seperti USM dan AADK.

Beliau yakin menerusi program itu, peratusan penagih dadah di daerah Besut dapat dikurangkan dan seterusnya mencapai matlamat bebas penagih dadah. - Bernama