Janji selesai masalah di muara


KUALA BESUT - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berjanji akan berusaha menyelesaikan masalah muara Kuala Besut yang semakin cetek kerana timbunan pasir susulan fenomena air pasang besar baru-baru ini, dengan kadar segera.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, beliau akan berbincang dengan pihak kementerian bagi mencari jalan untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Menurutnya, kementeriannya juga akan berbincang dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar bagi mencari penyelesaian jangka pendek.

"Kita akan mencari ikhtiar sama ada mengorek atau melakukan kerja-kerja mendalamkan muara berkenaan dengan segera kerana keadaannya sekarang ini mengganggu aktiviti nelayan, termasuk pengusaha bot pelancongan.

"Tindakan segera akan dilakukan sebelum projek pemecah ombak dilaksanakan," katanya kepada media selepas melawat Kompleks Pendaratan Ikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan muara Kuala Besut, di sini, semalam.
Ahmad Shabery ketika melawat kawasan industri pembenihan ikan kerapu di Pantai Air Tawar, Kuala Besut, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri, Nawi Mohamad.

Sebelum itu, Ahmad Shabery mengadakan sesi dialog ringkas di pekarangan kompleks tersebut yang menyaksikan Persatuan Nelayan Kawasan Besut menyampaikan dilema dihadapi ahli-ahlinya.

Fenomena air pasang besar yang berlaku di kawasan pesisir pantai di negeri ini sejak awal bulan lalu menyebabkan muara Kuala Besut semakin cetek.

Timbunan pasir daripada laut menyukarkan bot-bot nelayan mendaratkan ikan di Kompleks LKIM selain mengundang bahaya kepada pelancong yang keluar masuk ke Pulau Perhentian.