UA, MPN Mahu Bincang Isu Kontrak, Umur Persaraan Profesor - Idris Jusoh


BANGI, 22 Feb (Bernama) -- Pihak Universiti Awam (UA) dan Majlis Profesor Negara (MPN) akan bertemu dalam tempoh terdekat ini bagi membincangkan isu kontrak dan lanjutan umur persaraan bagi perkhidmatan golongan profesor, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.



Beliau berkata pihaknya menyedari perkhidmatan sebilangan profesor yang menghampiri usia persaraan, masih diperlukan kerana penglibatan mereka dalam sesuatu kajian atau penyelidikan.

Pada masa yang sama, katanya, kementerian juga perlu akur dengan autoriti yang dimiliki universiti berkenaan.

"Kementerian akan kaji, lihat keperluan tetapi lebih penting perbincangan dengan universiti perlu dilakukan terlebih dahulu kerana institusi itu lebih tahu tentang apa yang dikehendaki dan keperluan, berdasarkan apa yang akan disumbangkan profesor berkenaan," katanya.

-- BERNAMA