Kerajaan negeri akan pantau gempa Tasik Kenyir


KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri menerusi jabatan terlibat akan menjalankan pemantauan dari masa ke semasa susulan kejadian gempa bumi lemah yang berlaku di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, malam kelmarin.



Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, berdasarkan laporan diterima, kejadian gempa bumi itu bukan yang pertama berlaku di kawasan berkenaan, malah telah masuk kali ketiga buat masa ini.

“Gegaran di Tasik Kenyir itu adalah gegaran yang lemah dengan 2.7 magnitud skala richter dan saya telah menerima laporan dari Tenaga Nasional Berhad (TNB)  bahawa gegaran itu tidak meninggalkan sebarang kesan buruk dan keseluruhan empangan di situ tidak terjejas dan beroperasi seperti biasa.

“Gempa yang berlaku bukan sekali, ini kali ketiga dan yang pertama pernah berlaku pada 1980, berlaku skala 4.6 skala Richter ketika pengisian empangan, kedua berlaku pada 2010 dengan 2.6 skala Richter dan kita merasakan, ini dari segi kemungkinan yang dimaklumkan kepada saya,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Beautiful Terengganu 2016 di Wisma Darul Iman, semalam.

Menurut Ahmad Razif, kejadian yang berlaku kali ini mungkin rentetan kejadian yang pernah berlaku sejak 35 tahun dulu.

“Bagaimanapun, kita harap orang ramai tidak khuatir dan panik kerana pihak kerajaan akan sentiasa menjalankan pemantauan. Jabatan Meteorologi Malaysia cawangan Terengganu akan pantau apa yang berlaku daripada masa ke semasa,” katanya.

Dalam pada itu, pemantauan dan pemeriksaan dijalankan pihak Bomba dan Penyelamat di kawasan sekitar dan Empangan Kenyir mendapati tiada lokasi terjejas atau sebarang kerosakan akibat gegaran susulan gempa bumi di Tasik Kenyir, malam kelmarin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Zamri Omar berkata, pemantauan dari semasa ke semasa secara berterusan turut dilaksanakan pihaknya berhubung perkara tersebut.

“Kami telah jalankan pemeriksaan di beberapa lokasi dan mendapati tiada kawasan terjejas termasuklah di Empangan Kenyir. Penduduk serta orang ramai diharapkan tidak perlu bimbang kerana tiada sebarang kerosakan didapati.

“Kita juga tidak menerima sebarang laporan daripada orang awam berhubung perkara itu. Orang ramai juga diharapkan tidak membuat sebarang andaian berhubung gegaran tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.