ECERDC Bangun Projek Bersepadu Akuapolitan Pertama Malaysia di Terengganu


Terengganu bakal menyaksikan perlaksanaan projek Akuapolitan pertama di Malaysia, iaitu satu skim pembasmian kemiskinan untuk komuniti nelayan yang akan dibangunkan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Pantai Timur (ECERDC) bertempat di Kuala Nerus, Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, Akuapolitan Kuala Nerus (AKN) mensasarkan penglibatan 451 peserta dalam industri penangkapan ikan dan perusahaan yang berkaitan, di mana 90 peratus daripada mereka merupakan individu berpendapatan rendah dalam kategori B40.

“Projek akuapolitan ini melibatkan penyertaan seluruh ahli keluarga peserta, sekali gus akan memberi impak kepada setiap aspek kehidupan mereka secara holistik dan menyeluruh disamping memberi peluang kepada peserta untuk menjana pendapatan bulanan yang lebih tinggi.

“Pada masa sama, anak-anak peserta yang bersekolah akan mendapat manfaat daripada program Latihan Kemahiran Akademik empower ECER yang dkendalikan ECERDC, sementara melalui program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER yang dijalankan, golongan belia yang menganggur dan suri rumah yang menyertai program latihan tersebut berpeluang untuk memperoleh pekerjaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) Negeri Terengganu bagi tahun  2016,di pejabat ECERDC, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda; Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Seri Jebasingam Issace John dan Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar.

Pada majlis tersebut, ECERDC yang diwakili Datuk Seri Issace menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan UMT yang diwakili Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar sebagai perjanjian kerjasama dalam pembangunan projek berkenaan.

Ahmad Razif berkata, peserta AKN juga diberi latihan dalam bidang pembangunan diri dan pengurusan kewangan untuk membantu mereka membina masa depan yang lebih baik untuk diri dan keluarga.

“Akuapolitan Kuala Nerus akan dibangunkan sebagai zon penangkapan ikan laut bersepadu dan mampan, yang merangkumi pembinaan Terminal Perikanan Akuapolitan, Perkampungan Pemprosesan Ikan Akuapolitan dan Pusat Penyelesaian Menyeluruh Perikanan (Akuapolitan Total Marine Solutions Centre).

“Peserta projek berpeluang untuk mengambil bahagian dalam keseluruhan rantaian nilai industri perikanan, iaitu daripada perikanan persisiran dan laut dalam sehingga kepada pemprosesan produk perikanan serta penyelarasan proses pembungkusan, pemasaran dan pengedaran.

“Ini akan membolehkan mereka menikmati pendapatan bulanan yang lebih tinggi dan kualiti hidup yang lebih baik,” katanya.

Katanya, ECERDC telah melantik UMT sebagai perunding untuk menjalankan kajian sosio-ekonomi, strategi pembangunan danpelaksanaan menyeluruh AKN dimana kajian telah bermula pada November 2015 dan dijangka siap pada April 2016.