Ampangan Paya Peda, Hulu Besut Bantu Tingkatkan Hasil Pertanian


Projek Pembangunan Ampangan Paya Peda,Hulu Besut, yang siap pembinaannya bukan sahaja membantu meningkatkan pengeluaran hasil tanaman padi negeri ini malah ia turut berfungsi bagi mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku di daerah Besut.



Projek bernilai RM420 juta yang pertama dibina oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi tujuan pengairan dan membekalkan air kepada petani di kawasan jelapang padi utama negeri ini kini siap sepenuhnya.

Ketua Setiausaha Kementerian berkenaan, Dato’  Seri Ismail Bakar berkata, ampangan seluas 1,200 hektar itu mampu menakung 220 juta meter padu air  untuk bekalan pengairan padi membabitkan kawasan 9,000 hektar di Kawasan Projek Pembangunan Pertanian Terengganu Utara (Ketara).

Katanya, pembinaan ampangan berkenaan akan meningkatkan keperluan beras dalam negeri kepada 90 peratus berbanding 47 peratus pada masa ini.
“Ketika ini, penanaman padi di kawasan pertaniaan IADP Ketara di Besut dan Setiu seluas 4,876 hektar dapat menyumbang kepada 90 peratus keperluan beras dalam negeri,” katanya.

Turut hadir,Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komiditi Negeri Nawi Mohamad yang juga ADUN Hulu Besut dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita,Keluarga dan Masyarakat Negeri, Dato Muhamad Pehimi Yusof yang juga ADUN Jertih.

Beliau berkata apabila projek naik taraf itu siap, ia akan meningkatkan keperluan beras dalam negeri kepada 77 peratus berbanding 47 peratus pada masa ini.

Katanya, apabila skim pengairan Ketara Fasa 2 dapat disiapkan, beliau yakin keperluan beras untuk negeri ini dapat ditampung 100 peratus daripada projek itu.

“Ampangan Paya Peda dijangka dapat menakung hujan di sekitar 7,500 hektar kawasan tadahan ke dalam kawasan takungannya yang mempunyai keluasan 1,200 hektar itu,” katanya.

Malah, katanya,  seramai 2,700 petani di Besut dan Setiu akan mendapat limpahan bagi mengusahakan seluas 9,000 hektar tambahan kawasan padi berbanding hanya 5,323 hektar sahaja ketika ini.

“Projek pembinaan yang dimulakan pada 2010 dan sepatutnya siap pada 30 Nov 2013 tetapi terlewat selama 1 tahun 4 bulan daripada jadual asalnya, bertujuan membekalkan air kepada 2,759 pesawah dalam Skim Pengairan Besut.

“Empangan itu yang mampu menakung 200 juta meter padu air mampu menakung antara 15 hingga 20 peratus air hujan yang turun di musim tengkujuh kelak bagi mengelak berlakunya banjir,” katanya.