Masyarakat perlu ubah persepsi penuntut universiti lemah Bahasa Inggeris



KUALA TERENGGANU 14 JAN– Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh meminta masyarakat mengubah persepsi mereka yang memandang rendah penguasaan Bahasa Inggeris penuntut-penuntut universiti tempatan.

Beliau berkata penguasaan Bahasa Inggeris kalangan penuntut semakin baik malah diiktiraf di peringkat antarabangsa selepas kerajaan melaksanakan pelbagai langkah bagi meningkatkan mutu sistem pendidikan tinggi di negara ini.
“Ini satu pandangan yang tidak tepat kerana mengikut kajian yang dijalankan, kualiti Bahasa Inggeris kita semakin baik. Sebab itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menaikkan syarat kemasukan ke universiti dengan mewajibkan lulus Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) pada band 2 dan 3.
Idris Jusoh ketika di Program Jelajah Kementerian Pendidikan Tinggi Negara ‘Soaring Upwards’ di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
“Kalau pelajar kita teruk sangat, bagaimana boleh menjadi juara debat peringkat antarabangsa di Cambridge (University of Cambridge baru-baru ini),” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Kementerian Pendidikan Tinggi Negara ‘Soaring Upwards’ di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha KPT Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang dan Naib Canselor UniSZA Datuk Dr Profesor Ahmad Zubaidi Abdul Latif.
Idris berkata penguasaan Bahasa Inggeris graduan tempatan turut mendapat pengiktirafan masyarakat luar yang mengatakan kualiti Bahasa Inggeris yang digunakan lebih tinggi berbanding graduan di sesetengah negara lain.
“Kita sahaja yang suka memburuk-burukkan diri kita. Saya sering diajukan soalan sama di Parlimen tetapi setelah saya terangkan dan tunjukkan pelbagai bukti bahawa penguasaan Bahasa Inggeris graduan kita sudah semakin baik, baru mereka terima yang sistem pendidikan tinggi kita semakin baik,” katanya.
Menurutnya siri jelajah itu adalah antara langkah KPT bagi mengubah persepsi masyarakat bahawa graduan universiti tempatan juga setaraf dengan graduan universiti luar negara.
Bersama kepimpinan UniSZA.
“Sebab itu kerajaan mengambil keputusan untuk mengurangkan penghantaran penuntut ke univesiti luar negara kerana kita sudah mampu melahirkan graduan berkualiti dengan adanya tenaga pengajar hebat dalam negara,” katanya. – Bernama