Agong titah rakyat sokong kerajaan untuk pembangunan negara

Agong titah rakyat sokong kerajaan untuk pastikan pembangunan negara
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini bertitah supaya semua lapisan rakyat memberi sokongan penuh kepada kerajaan dalam usaha memastikan pembangunan negara dapat diteruskan.

Seri Paduka bertitah usaha pembangunan negara yang dilakukan kerajaan ketika ini seharusnya dipuji kerana ia telah dapat melonjakkan Malaysia ke kedudukan ke-12 negara paling berdaya saing bagi menjalankan perniagaan.
"Beta bangga dengan kejayaan yang dicapai oleh kerajaan. Beta yakin usaha transformasi yang dilakukan ketika ini akan memastikan Malaysia mencapai negara maju menjelang tahun 2020," titah baginda pada majlis penganugerahan darjah kebesaran, bintang dan pingat di Istana Negara, Jalan Duta di sini sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan.
Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut berkenan hadir ke majlis berkenaan.
Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.
- BERNAMA