PRK DUN Kajang : Awas Wayang Kulit Pembangkang – Dr Salleh

KOTA KINABALU, 29 Jan –  Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Dr. Salleh Tun Said Keruak membidas Pakatan Pembangkang yang jelas memperkotak-katikkan amanah rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dan menyifatkan peletakan jawatan wakil rakyat di kawasan tersebut, Lee Chin Cheh sebagai satu lagi `wayang pembangkang’.

Mengulas mengenai peletakan jawatan Lee Chin Cheh sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, beliau berkata apa yang berlaku itu sebenarnya adalah atas kehendak Anwar dan tindak-tanduk mereka dalam beberapa hari ini adalah lakonan semata-mata berdasarkan `skrip wayang’ yang diarahkan oleh kepemimpinan Pakatan Pembangkang.

“Kita dapat melihat dengan jelas rentetan peristiwa ini seperti  wayang yang disusun skripnya. Bermula dengan peletakan jawatan wakil rakyat, sehari kemudian segera diumumkan penamaan Anwar sebagai calon pilihan raya kecil (PRK) untuk mengisi kekosongan, kemudian sekutu pembangkang lain PAS dan DAP berpura-pura menghentam untuk menarik perhatian dan simpati,” katanya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Salleh yang juga Speaker DUN Sabah berkata matlamat sebenar `wayang pembangkang’ ini adalah untuk kepentingan politik Anwar yang semata-mata yang mahukan kuasa demi agenda politik peribadinya.

“Setelah gagal dalam percubaannya ke Putrajaya, Anwar kini cuba untuk menuju ke kerusi Menteri Besar Selangor, jadi setidak-tidaknya dia boleh menggunakan kuasa dan kedudukan di sana untuk survival politiknya,” ujarnya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan  bahawa pertikaian mengenai isu pemecatan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali sebagai ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mempunyai pertalian dengan agenda Anwar menuju ke singgahsana kuasa di Selangor.

Pada masa yang sama, jelasnya lagi, tindakan itu juga bertujuan bagi menutup kelemahan serta mengalihkan pelbagai isu yang dihadapi pembangkang kebelakangan ini, termasuk isu Anwar tidak dibenarkan memasuki Jepun baru-baru ini.

Apa yang jelas kata beliau, perkembangan politik yang berlaku dalam pakatan pembangkang  hari ini ini cukup jelas memperlihatkan bahawa `Anwar itu adalah PKR, dan PKR itu adalah Anwar’.

Salleh turut menyatakan rasa kesalnya kerana dalam permainan politik Anwar dan sekutunya ini,  yang menjadi mangsa adalah pengundi DUN Kajang sendiri, di mana mandat mereka jelas diperkotak-katikkan hanya semata-mata untuk memenuhi agenda dan selera politik peribadi seseorang.

“Anwar memperalatkan PKR sebagai batu loncatan mencapai cita-cita politik peribadinya. Justeru itu, saya amat berharap agar rakyat diberi kefahaman berhubung  cerita sebenar yang berlaku dalam pakatan pembangkang supaya mereka tidak mudah terjebak dengan permainan politik pembangkang yang sanggup berbuat apa saja demi kuasa dan agenda politik peribadi mereka,” tegasnya. -MediaUMNO