Sudah tiba masa duduk semeja


KOTA BHARU - Sudah tiba masanya kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) duduk semeja bagi mencari jalan penyelesaian bersama terhadap isu-isu semasa.

Ketua Aktivis Pengguna Islam Kelantan dan Selangor, Datuk Mohd Fared Abdul Ghani berkata, jika perkara itu lambat dibendung, dibimbangkan perpaduan pelbagai kaum terancam dan membawa kepada perkara lebih teruk sehingga menjejaskan kestabilan politik negara.

“BN dan PR seharusnya berunding dalam menangani tindakan pihak tertentu yang memainkan isu perkauman. Kita jangan lari dari masalah sebenar sehingga mengeluarkan kenyataan berunsur ancaman.

“Selagi pimpinan hanya tahu tunjuk perasaan emosional selagi itulah ia tidak akan membantu mengeluarkan rakyat daripada masalah yang dihadapi,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Tambahnya, kepentingan pemahaman tentang perkara sensitif melibatkan perbezaan kaum dan agama perlu dilakukan secara rasional.

“Sikap saling menghormati patut dibincangkan dengan  pihak terlibat untuk mencapai persefahaman,” katanya.
--Sinar