PI1M bawa internet ke desa


JIKA disorot kembali era 1980an, penggunaan telefon mungkin sesuatu yang sukar. Kemudahan tersebut hanya disediakan di rumah-rumah pemimpin masyarakat seperti wakil rakyat.

Melihat kepada kesusahan rakyat untuk berhubung pada waktu itu, kerajaan mengadakan projek telefon awam sebagai pelan jangka pendek sebelum penggunaan telefon dapat diperluaskan ke seluruh negara.

Namun, penggunaan telefon awam tidak lagi relevan apabila munculnya telefon sendiri di setiap rumah.

Sehingga pada suatu saat penggunaan telefon di rumah pula dilihat tidak lagi sesuai dengan aktiviti masyarakat yang mahukan sistem komunikasi yang lebih pantas dan boleh di bawa ke mana-mana iaitu telefon bimbit.

Kini, perkembangan teknologi menyaksikan peralihan keperluan masyarakat hari ini daripada kaedah sistem komunikasi yang mudah kepada capaian internet di segenap pelosok negara.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, kerajaan peka dengan keperluan rakyat untuk mendapatkan capaian internet secara meluas terutamanya di kawasan luar bandar.

Justeru, katanya, bagi memenuhi keperluan tersebut, program Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) telah dilaksanakan pada tahun lepas.

“Program ini bersifat sementara sebelum capaian internet dapat diperluaskan ke seluruh negara pada masa akan datang,” katanya pada Majlis Bersama Komuniti dan pelancaran PI1M di Felda Sungai Tengi, Hulu Selangor, Selangor baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam, Datuk Rosni Sohar; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Abd. Rahim Mohd. Radzi dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohamed Sharil Tarmizi.

Tambahnya, kemudahan pusat internet di Felda Sungai Tengi dapat memberi manfaat kepada masyarakat Felda melonjakkan aktiviti ekonomi mereka.

“Saya berharap penduduk di Felda ini menggunakan kemudahan tersebut dengan sebaik-baiknya sama ada untuk meningkatkan tahap akademik mahu pun pendapatan keluarga,” katanya.

Pusat tersebut dibangunkan dengan kerjasama kementerian terbabit, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan beberapa syarikat syarikat telekomunikasi.

Pusat itu kini berjumlah 424 buah di seluruh negara dengan kos pembinaan dan kelengkapan bagi setiap satu mencecah RM300,000.

PI1M di bawah Bajet 2013 akan menyediakan capaian internet jalur lebar secara kolektif di seluruh negara dibiayai daripada dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat selama tiga tahun.

Sementara itu, kewujudan PI1M di Felda Sungai Tengi mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk setempat.

Pengurus PI1M Felda Sungai Tengi, Afizah Mat Ali berkata, pihaknya tidak menang tangan melayan kehadiran penduduk setempat.
€œPI1M Felda Sungai Tengi mula dibuka pada bulan September tahun lalu menggunakan bangunan yang pada asalnya adalah sebuah tadika yang tidak lagi digunakan.

“Pusat ini telah dipohon oleh pengurus Felda Sungai Tengi dan kerajaan telah bersetuju untuk membinanya di sini,” katanya.

Jelas Afizah, PI1M bukan semata-mata sebuah pusat untuk melayari internet dengan kadar yang amat rendah persis sebuah pusat internet seperti kebiasaan yang ditemui.

“Di sini selain menawarkan kemudahan melayari internet, kami turut menyediakan perkhidmatan mengajar cara-cara yang betul menggunakan peralatan komputer dan latihan ICT.

“Perkhidmatan tersebut dimulakan daripada seawal kanak-kanak prasekolah sehingga kepada warga emas dan dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan fasa,” katanya.

Kini, PI1M Felda Sungai Tengi memiliki 289 ahli dengan bayaran RM5 untuk seumur hidup.

Di pusat tersebut, latihan diberikan kepada hampir 87 ahli pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Antara latihan ICT yang diberikan adalah cara untuk mewujudkan laman dan pembangunan laman media baharu yang mana modul latihan tersebut disediakan oleh SKMM.

Malah, ada sesetengah ahli PI1M turut dilatih untuk mengendalikan blog bagi tujuan perniagaan dan penjanaan ekonomi dan diberikan sijil setelah tamat latihan.

Sejak dibuka, PI1M Felda Sungai Tengi menerima hampir 60 orang pengguna pada setiap hari dan kemudahan yang disediakan dipusat tersebut telah banyak membantu golongan yang benar-benar memerlukan terutamanya daripada keluarga yang kurang berkemampuan untuk menyediakan capaian internet di rumah.

© Utusan Melayu (M) Bhd