Sandiwara jadikan Anwar MB


KUALA LUMPUR 1 Feb. - Pelbagai isu yang timbul di Selangor, termasuk melibatkan krisis dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan kalimah Allah didakwa hanya satu sandiwara politik bagi membolehkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Besar.

Bekas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin berkata, isu-isu tersebut dipercayai didalangi pihak tertentu dalam memastikan skrip untuk membolehkan Anwar menjadi Menteri Besar Selangor tercapai, sekali gus menyelamatkan beliau daripada hukuman terhadap tuduhan liwat buat kali kedua.

Beliau berkata, Anwar kini berdepan dengan rayuan pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang dijadualkan didengar di Mahkamah Rayuan pada 11, 12 dan 13 Februari ini dengan pihak pendakwaan diwakili oleh peguam terkemuka iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

"Risiko dipenjarakan dan impian menjadi Perdana Menteri ketujuh hancur lebur dan menjadi nyata. Pada usia 67 tahun, Anwar tidak mungkin boleh menerima hukuman penjara yang panjang. Ini mesti dipintas dalam cara apa sekalipun," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Zulkifli, jika Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menjadi Menteri Besar Selangor, siapa berani mahu menghukumnya dan berdepan dengan tekanan penyokongnya termasuk dari luar negara.

"Matlamatnya, Anwar mesti menjadi Menteri Besar Selangor dalam apa cara sekalipun untuk memastikan Penjara Sungai Buloh bukan destinasi terakhir Anwar di muka bumi ini," ujar beliau.

Tambahnya, sejarah tentang kes Mohd. Saiful kini berulang dan menghantui Anwar yang menggunakan taktik lapuk sebagaimana pernah dilakukan ketika bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 2008.

Beliau berkata, salah satu strategi yang dirangka PKR pada masa itu ialah untuk memastikan Anwar menjadi Ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang berikutan pertuduhan kes liwat Mohd. Saiful.

Ini kerana kata beliau, dengan jawatan berkenaan, kemungkinan untuk Anwar disabitkan kesalahan agak tipis.

Katanya, beliau pada masa itu selaku salah seorang peguam Anwar dengan penuh semangat dan ketaatan membuta tuli telah menawarkan kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu yang disandangnya untuk ditandingi Anwar.

''Namun kerja Allah tiada siapa dapat mengatasinya. Petisyen pilihan raya yang difailkan di Mahkamah Tinggi Alor Setar terhadap kerusi berkenaan menyebabkan tidak dapat dikosongkan mengikut perancangan.

''Lalu Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail terpaksa mengorbankan kerusinya Parlimen Permatang Pauh demi 'kesejahteraan PKR'," ujar beliau.

Berikutan itu, beliau menyeru rakyat Selangor supaya bangkit dan sedar dengan menolak amalan politik yang hanya untuk memuaskan nafsu serta kepentingan peribadi pihak tertentu, bukannya demi kepentingan rakyat.


© Utusan Melayu (M) Bhd