Pesakit kronik jadi anak angkat UMNO Kota Putera


BESUT 1 Feb. - UMNO cawangan Kota Putera akan menjadikan para pesakit kronik terutama kanak-kanak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan sebagai anak angkat bagi membolehkan mereka mendapat perhatian wajar yang berterusan.

ADUN Kota Putera, Mohd. Mahdi Musa berkata, langkah itu juga untuk memastikan keluarga pesakit terutama dari kalangan kurang berkemampuan dan dibelenggu kemiskinan tidak terus terabai.

Katanya, pada masa ini banyak kes seumpama itu mendapat bantuan dan perhatian kerajaan namun mengakui masih ada pesakit lain yang 'terlepas pandang' kerana masalah teknikal termasuk tidak dimaklumkan kepada pihak berkenaan.

Menurutnya, kerajaan mempunyai dana untuk membiayai rawatan pesakit sehingga mencecah ratusan ribu ringgit tetapi masih ramai pesakit yang tidak mendapat maklumat mengenai kemudahan itu.

"Pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam sesebuah kampung perlu lebih peka dengan masalah yang dihadapi rakyat dan memastikan mereka mendapat kemudahan yang disediakan kerajaan," ujarnya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas menziarahi kanak-kanak pesakit kronik, Norhafizzudin Nor Azmi, dua tahun yang menderita sindrom kejutan septisemia kulit lecur pada paha kirinya di Kampung Pengkalan Nyireh dekat sini semalam.

Kunjungannya turut diiringi isterinya, Hasniza Yahya dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Besut, Ernie Salwani Saidi.

Mohd. Mahdi seterusnya memberi jaminan, dalam waktu terdekat ini, pesakit kronik di DUN Kota Putera akan lebih mudah dikenal pasti berdasarkan senarai yang telah dikemaskini dari semasa ke semasa supaya bantuan serta perhatian dapat disalurkan.

Dalam pada itu, Norhafizzudin, anak bongsu kepada pasangan Nor Azmi Mat Hassan, 39, dan Roswati Abdullah, 35, itu terpaksa menjalani pembedahan setelah paha kirinya mengalami jangkitan kuman sejak dua bulan lalu.

Akibat jangkitan itu, Norhafizzudin terpaksa menanggung perbelanjaan kira-kira RM1,200 untuk menjalani tiga pembedahan dan dirawat lebih sebulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan.

Salah satu pembedahan itu melibatkan kulit kepalanya yang terpaksa dibuang untuk ditampal di bahagian paha bagi menggantikan daging di pahanya itu yang rosak akibat jangkitan kuman.

Biarpun selepas dibedah, ibu-bapa kanak-kanak itu bimbang apabila keadaan Norhafizzudin masih belum sembuh.