Demonstrasi Jalanan Cabul Hak Masyarakat Majoriti – Tun M


KUALA LUMPUR, 24 Jan – Budaya demonstrasi jalanan yang semakin diangkat golongan tertentu untuk menyatakan ketidakpuasan hati mereka adalah  suatu tindakan yang mencabul hak masyarakat majoriti.



Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ini kerana scenario semasa menampakkan bahawa tindakan itu hanya membawa suara kumpulan minority atau individu tertentu sahaja sehingga menjejaskan kumpulan majoriti, menyebabkan mereka menerima pelbagai tempias negatif.

“Umpamanya bila berlaku demonstrasi, ini mengganggu perniagaan orang lain, ini bermakna kita telah menghapuskan hak orang lain, ini tidak harus dilakukan,” katanya selepas melancarkan Forum Kebangsaan dan Buku “Hak Asasi Kemanusiaan Dalam Tradisi Islam” di Pusat Islam di sini.

Dr Mahathir turut memberi contoh demonstrasi rakyat di Bangkok, Thailand, yang semakin meruncing sehingga pusat perniagaan lumpuh dan menjejaskan mata pencarian rakyat terutama golongan peniaga.

Beliau turut menegaskan pelaksanaan hak asasi perlu mempunyai keseimbangan kerana keutamaan kepada hak individu dan kumpulan minoriti semata-mata akan memusnahkan keamanan negara.

Dr Mahathir juga menyeru semua pihak agar tidak berpegang kepada fahaman barat yang mementingkan kebebasan dan hak individu serta kumpulan minority semata-mata kerana konsep kebebasan ada batasannya.

“Hakikatnya kebebasan mempunyai batasan kerana kepentingan majoriti juga harus dijaga tanpa menekankan keperluan minoriti,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir sekali lagi menegaskan bahawa penggunaan kalimah Allah adalah hak eksklusif orang Islam, dan cubaan puak-puak tertentu untuk menggunakan kalimah itu di Semenanjung mempunyai agenda tersendiri.

“Sebelum kedatangan Islam, perkataan Allah tidak ada sama sekali dalam bible, dalam mana-mana bible, dalam bahasa apa pun,” katanya.

Beliau berkata selepas kedatangan Islam, kalimah itu digunakan pihak-pihak tertentu bagi menarik masyarakat untuk menerima agama Kristian