UMNO Terus Pertahan Kesucian Islam Termasuk Kalimah Allah

KUALA LUMPUR 24 Jan- Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak berkata Majlis Tertinggi UMNO hari ini menyokong pendirian kerajaan untuk terus mempertahankan kesucian dan kemuliaan agama Islam termasuk kalimah Allah.

Menurut beliau Majlis Tertinggi UMNO juga mengambil maklum perjanjian 10 perkara yang telah pun dipersetujui oleh kerajaan pusat, namun perjanjian 10 perkara itu tertakluk kepada undang-undang persekutuan dan undang-undang negeri.


“Kalau negeri berkenaan ada Enakmen, maknanya dia tertakluk kepada Enakmen di peringkat negeri.

“Kalau negerinya tidak ada Enakmen seperti Sabah dan Sarawak maknanya amalan seperti biasa boleh diteruskan dan tidak ada pihak yang harus menakutkan mana-mana pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MT di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn, hari ini.

Untuk rekod penyelesaian 10 perkara yang telah ditandatangani bersama Sabah dan Sarawak pada April 2011 berhubung penggunaan kalimah Allah telah mencetuskan polemik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nancy Shukri sebelum ini dilaporkan berkata hal ehwal agama setiap negeri terletak di bawah urusan kerajaan negeri dan bukannya Putrajaya.

Isu penggunaan kalimah Allah ini berbangkit selepas JAIS merampas Bible dalam bahasa Melayu dan Iban daripada Gereja Bible Society of Malaysia di Petaling Jaya pada 2 Januari lepas.

Ia adalah rentetan daripada kes mahkamah antara akhbar mingguan Katolik, Herald dengan Kementerian Dalam Negeri dan beberapa pihak lain berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan itu.

Mahkamah Rayuan pada Oktober tahun lalu memutuskan melarang akhbar mingguan berkenaan menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan bahasa Melayu. -MediaUMNO