Hina agama: Pemuda BN buat laporan polis


KOTA TINGGI - Pemuda BN Kota Tinggi hari ini membuat laporan polis berhubung satu kenyataan yang boleh mencetuskan isu perkauman dalam laman sosial.
 
Kenyataan itu dimuat naik pengguna laman sosial Facebook yang menggunakan nama Man Namblast dan Mohamed Hidayat berhubung sambutan perayaan Thaipusam minggu lalu.
   

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kota Tinggi, Muhammad Fadzli Hassan berkata, pemuda bahagian itu mengutuk tindakan mana-mana pihak yang menghina apa juga agama.

Menurutnya, sebagai sebuah negara yang didiami masyarakat majmuk, semua rakyat perlu mempunyai rasa saling hormat menghormati di antara satu sama lain.

“Perasaaan saling hormat menghormati amat penting dan perlu ada dalam diri masing-masing supaya keharmonian kaum yang kita warisi dari generasi terdahulu di negara ini dapat terus dikekalkan," katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kota Tinggi, di sini.

Carian Bernama di laman sosial itu mendapati kedua-dua akaun Man Namblast dan Mohamed Hidayat telah ditutup. - Bernama