Insiden Di Jepun Contoh Klasik Politik Fitnah Pembangkang


KUALA LUMPUR 23 Jan – Tuduhan yang dilemparkan kononnya kerajaan Malaysia khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak penyebab Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim  dilarang memasuki Jepun Ahad lalu adalah contoh klasik politik fitnah membabi buta yang diamalkan pembangkang selama ini.



Ketua Penerangann Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar berkata isu tersebut sekali lagi menjadi gambaran jelas cara permainan politik pembangkang yang gemar melemparkan dakyah palsu bagi memburukkan kerajaan.

“Penjelasan daripada Kedutaan Jepun menjelaskan segala-galanya mengenai peristiwa beliau dilarang memasuki negara matahari terbit itu. Jadi bagi kita, ianya merupakan gambaran terhadap Anwar khususnya serta pembangkang.

“Jelas mereka (pembangkang) cuba memanipulasi fakta sebenar…. akhirnya mereka sendiri mendapat  malu,” katanya kepada UMNO-Online di sini.


Jurucakap kedutaan Jepun, Tomoko Nagai berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilarang memasuki Jepun pada Ahad kerana melakukan kesalahan dan pernah dipenjara pada tahun 1999.

Menurutnya, sesiapa sahaja yang pernah melakukan kesalahan dan menjalani hukuman penjara sama ada di Jepun atau negara lain tidak dibenarkan memasuki negara itu.

“Seperti yang diketahui, Anwar pernah dibenarkan memasuki Jepun pada 2011 dan 2012 tetapi ketika itu beliau mempunyai kebenaran khas daripada negara berkenaan.

“Bagaimanapun, kali ini beliau tidak membuat permintaan dan berikutan itu kemasukannya tidak dapat diterima,” katanya pada Selasa.

Mengulas lebih lanjut Jamawi seterusnya menambah dakyah terbaru yang dilemparkan ini sama saja seperti tuduhan 40,000 bangla mengundi pada PRU 13, pembohongan rampas kerajaan 16 September, “blackout” masa mengundi dan pelbagai lagi tuduhan bagi memburukkan kerajaan Barisan Nasional.

“Putar belit dan fitnah adalah teras politik pembangkang kerana mereka sememangnya tiada modal lain bagi meraih sokongan rakyat.  Kita yakin politik bohong dan fitnah ini tidak akan ke mana kerana akhirnya akan dibongkar dengan kebenaran.

“Mereka boleh menipu tetapi mereka kita ingat mereka tidak mampu untuk menipu sepanjang masa dan terbukti segala penipuan yang dilakukan mereka selama ini akhirnya telah memalukan mereka sendiri”, ujarnya.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad dilarang memasuki Jepun dan beliau mengkritik layanan yang diberikan oleh para pegawai di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo.

Beliau menerusi kenyataan di blog miliknya berkata, “Saya membantah sekeras-kerasnya tindakan ini, tidak wajar kerajaan Jepun untuk tidak membenarkan saya masuk dan menafikan hak-hak sah saya bagi perjalanan secara bebas tanpa halangan.

“Ia memang mustahil untuk salah sebuah negara demokrasi yang terkemuka di dunia untuk mengambil tindakan yang tidak pernah berlaku sebelum ini di bawah alasan lemah itu dan membiarkan saya dengan gambaran bahawa terdapat sesuatu yang mungkin menyebabkan keadaan ini berlaku,” kata Anwar di blognya yang merujuk kepada campur tangan pihak tertentu yang menyebabkan beliau tidak dibenarkan masuk ke negara itu. -MediaUMNO