Pas Yang Dulu, Bukan Yang Sekarang…


Pas yang dulu, bukan yang sekarang. Dulu Pas memperjuangkan agenda negara Islam, kini tidak lagi. Dulu-dulu, kepimpinan Pas tegar dengan agenda negara Islam mereka, sehingga sanggup mengkafirkan ahli dan penyokong UMNO. Tetapi hari ini, agenda negara Islam Pas tunduk terkulai layu dengan belaian jampi DAP dan PKR.


Pas yang dulu, bukan yang sekarang. Dulu hasrat Pas meninggikan kalimah Allah, biarpun UMNO sebenarnya telah lama berbuat demikian. Dulu Pas berhasrat menyemarakkan syiar Islam, biarpun syiar Islam telah lama disemarakkan UMNO. Tapi hari ini, bukan sahaja syiar, tetapi kalimah Allah pun Pas sanggup gadaikan demi saudara mereka DAP dan PKR.

ustaz-fadzil-noor-pas-abim-umno-mahathir-abdullah-ummah-islam-malaysia

Pas yang dulu, bukan yang sekarang. Dulu-dulu, Pas tegar membela ulama mereka. Jangan dihina, jangan dicerca, kepimpinan Pas bangkit garang bak harimau membela ulama-ulama mereka. Tetapi itu dulu. Pas yang sekarang, jangan kata membela, malah ulama pula ditentang. Pas yang sekarang bukan lagi mahu kepimpinan ulama, tetapi ulama pula mahu dinyahkan dari puncak suara kemuliaan di dalam Pas.

Pas yang dulu, bukan yang sekarang. Pas dulu-dulu, menganggap Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat agama. Pas yang dululah yang pertama memberitahu dunia, kerakusan nafus Anwar yang bertopengkan wajah kealiman dan kewarakan. Anwar ditentang habis-habisan. Tetapi itu Pas yang dulu, bukan Pas yang sekarang, yang tunduk, yang lemah, malah membela kemungkaran si pengkhianat yang dulunya ditentang habis-habisan.

Pas yang dulu, bukan yang sekarang. Pas yang dulu, mampu duduk semeja, bermuzakarah dan bersama dengan UMNO dalam soal Islam dan bangsa Melayu.  Pas yang sekarang, sanggup menolak perdamaian sesama Islam, menganggap si penentang Islam sebagai sahabat dan saudara, tetapi mahu meludah muka sesama Islam yang menghulurkan salam ukhwah dan perdamaian.

Pas yang dulu, bukan yang sekarang. Pas yang dulu, dilihat pentingkan perjuangan daripada ganjaran. Pas yang dulu teguh berprinsip menolak sebarang godaan. Tetapi itu Pas yang dulu, bukan Pas yang sekarang. Pas yang sekarang, rakus mengejar pangkat dan jawatan. Tamak mengejar kuasa dan kedudukan. Sunnah baginda Muhammad saw diketepikan, digantikan pula dengan sunnah Machevelli yang kini diutamakan. Al Quran bukan lagi untuk diamalkan, tetapi sekadar menjadi modal perbahasan.

Itulah Pas yang sekarang, bukan yang dulu…

 Abu Muhammad Zubair