MT UMNO Sepakat Sokong Dasar, Langkah Tangani Isu Ekonomi

KUALA LUMPUR, 24 Jan – Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO sepakat dalam menyokong semua dasar dan langkah-langkah yang sedang diambil oleh kerajaan dalam menangani isu ekonomi negara, kata Presidennya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.



Katanya, walaupun dari segi asas dan fundemental ekonomi negara masih teguh dan mendapat pengiktirafan di dalam dan luar tetapi masalah berkaitan rakyat tidak dinafikan.

“Jika dilihat dari segi pelaburan, pertumbuhan ekonomi, inflasi, bursa saham dan lain-lain lagi, ekonomi kita berada dalam keadaan yang baik dan meyakinkan namun kita tidak nafikan bahawa rakyat menghadapi masalah berhubung kenaikan harga barang dan kerajaan sedang menangani perkara ini dengan pelbagai langkah yang telah pun diumumkan termasuk program baru yang akan dilancarkan.”

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MT di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn, hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa beberapa langkah tambahan untuk mengurangkan beban rakyat turut akan diilakukan dengan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mempertimbangkannya berdasarkan makmal yang dilakukan.

“Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) juga akan dilaksanakan dalam tempoh dua minggu lagi atau dalam pertengahan Februari yang melibatkan 7.9 juta rakyat dalam usaha untuk membantu rakyat.”

Terang beliau, masalah kenaikan harga barang yang berlaku sekarang ini antaranya berpunca daripada sikap pemborong yang mungkian ada menaikkan harga kepada peruncit selain daripada kesan musim tengkujuh yang berlaku baru-baru ini.

“Hal-hal ini telah menyebabkan sesetengah barang dinaikkan namun dengan langkah-langkah yang akan diambil kita yakin akan dapat membendung perkara ini.”

Dalam masa yang sama, beliau juga memaklumkan bahawa MT telah meluluskan indeks prestasi utama (KPI) yang akan diedarkan ke bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan UMNO seluruh negara.

“Secar prinsipnya ia adalah amalan kerja dalam UMNO pada masa akan datang yang akan berpaksi kepada penilaian KPI dengan dipantau secara lebih sistematik misalnya MT akan ditugaskan kepada beberapa bahagian dan bahagian akan memantau cawangan supaya parti akan lebih aktif untuk jalankan tugas,” ujar beliau. - MediaUMNO