Kerajaan negeri memperkenalkan program Transformasi Orang Muda (TOM)


Kerajaan negeri memperkenalkan program Transformasi Orang Muda (TOM) bagi mengubah peranan golongan muda ke satu tahap yang lebih baik melalui pelbagai aktiviti komuniti, pengasahan bakat serta penganjuran sukan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata usaha yang dilancarkan hari ini dan berkemungkinan program pertama seumpamanya di Malaysia itu diyakini mampu merealisasikan hasrat dan harapan golongan sasaran.

Katanya, program TOM diperincikan melalui enam segmen merangkumi cyber orang muda (COM), saf orang muda (SOM), mukhayyam orang muda (MOM), jelajah orang muda (JOM), komuniti orang muda (KOM) diikuti sukan orang muda (Sukom).

“Melaluinya sebanyak RM22 juta diperuntukkan bagi menjayakan program yang telah ditambah nilai daripada bantuan Dana Bakti Remaja yang diperkenalkan kerajaan sejak 2005 kepada program TOM.

“Oleh itu, pemberian dana itu pada tahun ini dan tahun akan datang agak berlainan berbanding tahun sebelumnya, golongan anak muda bakal melalui beberapa siri program pilihan daripada enam segmen yang dinyatakan itu untuk disertai, kemudiannya barulah wang tersebut akan diagihkan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan program itu di Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu, petang semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Rozi Mamat; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Samiun Salleh; Pengerusi Kelab Generasi Baharu Terengganu (KGB), Mohd Johari Abu Bakar dan Pengerusi Persatuan Inspirasi Ikatan Wanita Muda Terengganu (Indah), Rozita Ismail

TOM yang digerakkan bersama KGB dan Indah dengan sokongan Skuad Sukarelawan TTB itu menyasarkan penglibatan kira-kira 70,000 golongan muda yang belum berkahwin berumur antara 18 sehingga usia 40 tahun termasuk pelajar institusi pengajian tinggi.

Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri membelanjakan RM20.9 juta tahun lalu bagi diagihkan kepada 104,861 orang anak muda menerusi Dana Bakti Remaja manakala sebanyak RM19 juta pula dimanfaatkan buat 93,726 orang pada tahun sebelumnya.

Katanya, walaupun dihimpit kekangan kewangan berikutan keadaan ekonomi yang tidak menentu tetapi kerajaan negeri tetap akan meneruskan pemberian sumbangan itu sekali gus membuktikan komitmen dalam membela nasib golongan sasar.

“Saya difahamkan TOM sudah mempunyai modul tersendiri dan bermula depan program yang dirancang sudah boleh digerakkan.

“Disamping itu, kesemua aktiviti TOM akan dibimbing fasilistator berpengalaman dalam kerja kemasyarakatan dan kita menjangkakan akan melatih keseluruhan 320 orang pelatih khas dengan 40 orang di setiap bahagian,” katanya.