Pantai Batu Buruk diwarta kawasan larangan merokok


BESUT  - Kerajaan negeri Terengganu bakal menjadikan persekitaran Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu sebagai kawasan bebas rokok.



Exco Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata ketika ini Penasihat Undang-Undang Negeri sedang merangka enakmen bagi larangan merokok di situ sebelum diluluskan.

"Buat masa ini, kita akan pasang papan tanda 'Terima Kasih Kerana Tidak Merokok' di sekitar kawasan Batu Buruk bagi membuktikan kerajaan negeri serius dalam perkara ini," katanya kepada media selepas merasmikan Sambutan Hari Kanser Sedunia peringkat negeri di Kompleks Rakan Muda, Kampung Raja di sini hari ini.

Menurutnya sepasukan penguatkuasaan khas juga akan ditubuhkan bagi memantau kawasan itu dengan kerjasama penguat kuasa tempatan bagi mengenakan kompaun kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan itu nanti.

Mengenai penyakit kanser, Muhammad Pehimi berkata kanser payu dara masih kekal penyakit kanser tertinggi di Terengganu diikuti kanser paru-paru selain kanser usus, leukemia dan kanser hati.

"Daripada jumlah penyakit kanser membabitkan penduduk Terengganu sepanjang 2014, 99 kes membabitkan kanser usus, 77 kanser paru-paru dan 103 kanser payu dara", katanya.

Menurut Muhammad Pehimi, kerajaan negeri telah mengeluarkan subsidi sehingga 50 peratus untuk kos pemeriksaan mamogram bagi wanita di negeri ini untuk  mengesan kanser payu dara sejak dua tahun lalu. - Bernama