Terengganu Lancar Tabung Pembangunan Sukan


Kerajaan negeri bakal melancarkan Tabung Pembangunan Sukan Terengganu pada 17 Februari ini bagi merancakkan lagi perkembangan sukan di Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata sumbangan penajaan yang diperolehi untuk sukan akan dimasukkan melalui tabung tersebut.

“Tabung ini akan digunakan untuk menjana pendapatan selain hanya bergantung kepada kerajaan negeri untuk menggerakkan sukan di Terengganu.

“Dengan adanya tabung ini juga, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta pihak swasta digalakkan untuk turut sama memainkan peranan dalam menaja pasukan-pasukan sukan di Terengganu,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Jersi Dan Memperkenal Pemain Teregganu FA Dan T-Team FC di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda; Presiden Pasukan Bola Sepak Negeri Terengganu, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid dan Pengurus Pasukan T-Team FC, Dato’ Mohamad Kamil Othman.

Ahmad Razif berkata sukan-sukan utama seperti bola sepak, basikal, kuda lasak serta hoki akan diberi keutamaan bagi menaikkan lagi nama Terengganu di persada antarabangsa.

Tambahnya, bersempena Tahun Melawat Terengganu 2017, sukan akan turut memainkan peranan bagi meningkatkan pelancong untuk datang ke Terengganu.

“Kerajaan negeri telah mengambil keputusan menjadikan sukan sebagai entiti kepada pelancongan di Terengganu kerana kita sudah tidak berada di belakang dalam bidang ini,” katanya.