Masih perlu waspada kes denggi


KAMPUNG RAJA - Kes demam denggi di negeri ini menunjukkan tren penurunan apabila hanya 146 kes didaftarkan kelmarin, berbanding 207 kes sehari pada Selasa dan 208 kes pada Isnin minggu ini.



Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata, angka itu menunjukkan penurunan menjadikan kes keseluruhan demam denggi dicatatkan sehingga kelmarin di negeri ini sebanyak 990 kes.

Menurutnya, bagaimanapun, jumlah keseluruhan itu masih tinggi berbanding 228 kes demam denggi bagi tempoh sama tahun lalu iaitu dengan peningkatan sebanyak 243.8 peratus.

“Penurunan sebanyak 61 kes yang dicatatkan kelmarin berbanding sehari sebelum itu turut disumbangkan usaha Jabatan Kesihatan Terengganu dalam mengawal pembiakan aedes terutama di kawasan berisiko,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Kanser Sedunia 2016 Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Kompleks Rakan Muda Kampung Raja, semalam.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohammad Omar dan Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Kesihatan Awam), Dr Mohd Jusoh.

Muhammad Pehimi berkata, lokaliti kawasan wabak denggi di negeri ini juga menunjukkan penurunan kelmarin berbanding dua hari sebelum iaitu apabila hanya 27 kawasan wabak masih aktif dicatatkan berbanding masing-masing 29 lokaliti dua hari sebelum itu.

Menurutnya, kawasan wabak yang masih aktif itu ialah 21 kawasan di Kuala Terengganu, lima kawasan di Kuala Nerus dan satu lokasi di Marang.

“Dalam tempoh Januari hingga kelmarin juga sebanyak 42,563 premis telah diperiksa Jabatan Kesihatan termasuk 36,613 premis rumah kediaman dan kedai.

“Pihak kami mendapati sebanyak 821 kes positif tempat pembiakan aedes dengan premis kediaman mencatatkan kes tertinggi iaitu 454 diikuti tanah lot kosong 132 serta lain-lain 188,” katanya.

Muhammad Pehimi berkata, semua pihak khususnya masyarakat perlu terus memastikan kebersihan kawasan rumah dengan memusnahkan tempat berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Menurutnya, kesedaran rakyat tentang wabak ini amat tinggi dan mereka perlu mengubah sikap untuk mencegahnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri akan mewartakan kawasan perkelahan Pantai Batu Buruk sebagai kawasan bebas merokok menerusi program  dikenali Terengganu Bebas Asap Rokok (Tibar).

“Pantai tersebut akan dijadikan sebagai kawasan larangan merokok untuk memastikan kesihatan awam dan pengunjung yang ingkar boleh dikenakan tindakan oleh pegawai penguat kuasa bertugas.

"Namun begitu kita akan sediakan satu ruangan atau tempat khas di situ untuk pengunjung merokok,” katanya.