Sukan Luncur Ombak Bantu Promosi TMT 2017


Penganjuran kejohanan sukan luncur ombak, Terengganu Surfing Cup 2016 merupakan platform awal bagi negeri Terengganu mempromosikan Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2017.
Timbalan Pengerusi II Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Tengku Zaihan Che Ku
Abd Rahman berkata, lebih membanggakan apabila kejohanan yang berlangsung selama tiga hari berakhir semalam itu berjaya menarik penyertaan 96 peluncur dari seluruh negeri.
“Kita dapat lihat kejohanan ini telah menarik pelbagai lapisan masyarakat terutamanya orang muda dan juga peluncur senior meluncur di Pantai Batu Burok.
Kejohanan kali ini amat penting kerana ia merupakan persediaan atau platform awal untuk mempromosikan TMT 2017,” ujarnya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup Terengganu Surfing Cup 2016 di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu, semalam.Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Pesona Terengganu, Dato’ Mustafar Khalid.
Menurut Tengku Zaihan, pesisir air di negeri ini merupakan lokasi terbaik ombak (wave break) untuk sukan luncur di Malaysia.
“Dimana tiga kategori utama untuk sukan ini iaitu beach break, point break dan reef break berada di Terengganu,” katanya.Tengku Zaihan berkata, kerajaan negeri turut mengharapkan kejohanan pada kali ini menjadi satu lonjakan kepada kejohanan Terengganu Open Surfing pada Disember nanti yang akan membuka penyertaan kepada peluncur dalam dan luar negara.
“Apabila kita melancarkan Terengganu Surfing Cup, ia bukan sahaja menarik minat peluncur dalam negara malah peluncur luar turut menunjukkan minat.
“ Justeru, dengan penganjuran Terengganu Open Surfing diharap dapat membuka peluang kepada mereka untuk mempamerkan kehebatan masing-masing,” katanya.