TMT 2017 : Pantai Batu Buruk Zon Premis Makanan Gred A


Premis makanan di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu akan ditransformasikan sebagai Zon Premis Makanan Gred A oleh kerajaan negeri menjelang Tahun Melawat Terengganu 2017.



Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata melihat pada kejayaan yang telah dilakukan oleh Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dalam menjadian Taman Chukai Utama sebagai Zon Premis Makanan Gred A, beliau mahu premis di Batu Burok mengikuti langkah yang telah diambil.

“”Kita nak gerai di Batu Burok mengikut langkah yang dibuat MPK bersama Pejabat Kesihatan Kemaman yang membimbing peniaga sehingga mereka mendapat pengiktirafan kebersihan gred A.

“Saya dah arahkan Unit Perancangan Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN) untuk melaksanakan program ini di Batu Burok dan kita nak tahap kebersihan gerai- gerai ditingkatkan selaras dengan prinsip Transformasi Terengganu Baharu (TTB),” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Konvensyen Mahasiswa Permata di UiTM Dungun, Dungun, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Uasahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Roslee Daud dan Pengarah Yayasan Terengganu, Mohamad Sulong.

Ahmad Razif berkata, pelaksanaan Zon Premis Makanan Gred A tersebut selari dengan hasrat kerajaan negeri yang mahu menjadikan Terengganu negeri terbersih.

“Kita memang bersunguh-sungguh dalam soal kebersihan yang mana kos pembersihan di negeri ini kita telah tingkatkan daripada RM36 Juta tahun lalu kepada RM72 Juta tahun ini.

“Bagi memastikan negeri ini menjadi hub pelancongan, kita kena pastikan kebersihan menjadi perkara utama dan kita juga sedang memantau harga makanan dan barang di negeri ini supaya tidak ada orang luar merungut lagi harga makanan di sini mahal,” katanya.