290 laporan polis sudah dibuat


KUALA LUMPUR 7 Feb. - Sehingga hari ini, sebanyak 290 laporan polis telah dibuat terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berikutan penerbitan klip video 'Onederful Malaysia CNY 2014'.



Laporan itu dibuat di seluruh negara oleh pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli politik dan golongan profesional yang melihat klip video itu bukan sekadar menyindir kepemimpinan negara tetapi yang lebih tidak boleh diterima ialah penghinaan terhadap kedaulatan ibu pertiwi.

Sewaktu angka laporan meningkat saban hari, belum terserlah kesungguhan pihak berkuasa untuk bertindak pantas walaupun kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 23 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.

Kelambatan bertindak itu dikhuatiri menyebabkan tanggapan negatif terhadap penguatkuasaan berpilih oleh pihak berkuasa semakin 'membengkak'.

Bukan satu rahsia, semakin ramai dalam kalangan masyarakat seakan 'putus harapan' terhadap pihak berkuasa berikutan kurangnya tindakan walaupun ribuan laporan polis berhubung isu-isu sensitif telah dibuat dalam tempoh tujuh tahun kebelakangan ini.

Walaupun Teresa yang sudah tidak asing dengan kontroversi menggunakan helah 'satira politik' untuk menghalalkan tindakannya, tempoh waktu klip video itu 'dilepaskan' ke alam maya boleh mengundang implikasi lebih buruk.

Mengaitkan klip video itu dengan sambutan Tahun Baharu Cina akan memberi gambaran yang salah terhadap keseluruhan masyarakat Cina di negara ini sekali gus berisiko mengundang ketegangan kaum.

Kebimbangan itu menyebabkan para pemimpin NGO Cina bersuara dengan keras, antaranya Presiden Pertubuhan Jaringan Cina Malaysia, Ng Lum Yong.

Tegas Lum Yong, sebagai wakil rakyat, Teresa sepatutnya memahami sensitiviti masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Jelasnya, masyarakat Cina juga kesal dengan penyiaran klip video terbabit menerusi YouTube sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

"Kita tidak faham mengapa Teresa menyakiti hati pihak lain dalam klip video yang bertujuan meraikan Tahun Baharu Cina. Tidak pernah berlaku dalam sejarah.

"Walaupun tidak secara terus terang tetapi kita faham. Malah, saya sendiri telah menonton klip video tersebut sebanyak 20 kali dan mendapati memang ada unsur-unsur ingin menyakiti hati orang lain," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Klip video selama 11 minit 39 saat itu didakwa memuatkan sindiran kepada kerajaan serta fitnah berhubung krisis keselamatan di Sabah dan mengaitkannya dengan isu diplomatik yang berlaku antara Malaysia dan Filipina.

Sambil mendesak DAP agar tidak melindungi perbuatan Teresa kerana merosakkan nama baik negara, Lum Yong turut meminta Ahli Parlimen Seputeh itu meminta maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia.

Beliau juga menggesa pihak berkuasa agar tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk menyiasat klip video berkenaan.

Sementara itu, Presiden Sensible and Ethical Malaysians United Troopers (SEMUT), Datuk Huan Cheng Guan memberitahu, penghasilan klip video berkenaan dianggap perbuatan yang biadab.

Lebih dikesali, jelas beliau, mesej yang terkandung di dalam video itu dikhuatiri boleh mencetuskan ketegangan di antara orang Melayu dan kaum Cina.

"Klip video tersebut juga tidak menggambarkan budaya kaum Cina khususnya golongan majoriti yang menganut agama Buddha dan Taoisme serta berpegang teguh dengan ajaran Confucius," ujarnya.

© Utusan Melayu (M) Bhd