Rakyat usah tertipu lakonan Anwar - Mohana

KUALA LUMPUR 2 Feb. - Rakyat diingatkan supaya tidak sesekali tertipu dengan 'wayang kulit' yang dipentaskan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih lagi berdepan dengan kes rayuan tuduhan meliwat di Mahkamah Persekutuan.

Ketua Wanita MIC Kebangsaan, M. Mohana mempersoalkan bahawa sekiranya kes yang sedang dirayu di mahkamah itu tidak berpihak kepada Anwar, apa pula nasib warga Kajang selepas itu.

"Adakah rakyat di Kajang terpaksa menderita kerana mengundi berulang kali sekali gus tertipu dengan segala janji yang ditaburkan oleh pimpinan Parti Keadilan Rakyat.

"Sebelum ini Anwar pernah menipu akan menjadi Perdana Menteri pada 2008 namun tidak menjadi, kemudian dia berbohong lagi dengan mengatakan akan bersara dari politik andainya pakatan gagal membentuk kerajaan pada pilihan raya umum lepas.

"Kini beliau tampil pula dengan cita-cita baru mungkin mahu menjadi Menteri Besar. Sampai bila rakyat mahu terus tertipu dengan pembohongan demi pembohongan pemimpin retorik seperti Anwar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Anwar dinamakan PKR sebagai calon jika pilihan raya kecil diadakan untuk kerusi DUN Kajang yang telah dikosongkan oleh wakil rakyat parti itu, Lee Chin Cheh tanpa sebarang alasan.

Baru-baru ini, peguam, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah menggesa Mahkamah Persekutuan membuat ketetapan pada 11 Februari ini dan tidak wajar menangguhkan keputusan rayuan kali kedua Anwar.

Rayuan terhadap kes liwat Anwar dibuat selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari tahun lalu membebas dan melepaskan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan di sebuah Kondominium Desa Damansara antara 3.10 petang hingga 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Jelas Mohana, ada kemungkinan benar dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa Anwar tergesa-gesa bertanding untuk mengelak hukuman dengan menekan pihak berkuasa dan mendapatkan simpati rakyat.

"Kejadian seumpama ini pernah berlaku sebelum ini ketika bertanding sebagai calon PKR di Permatang Pauh selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di atas tuduhan sama pada 7 Ogos tahun sama.

"Tidakkah kita nampak 'permainan' beliau? Hanya kerana nafsu politik yang tidak dapat dibendung olehnya, rakyat menjadi mangsa. Usahlah tertipu lagi.

Tambah beliau, pembangkang sering menggula-gulakan rakyat dengan pelbagai janji retorik, malah sering menonjolkan diri sebagai parti politik yang memperjuangkan kebajikan masyarakat.

"Bukankah wakil rakyat sebelum ini sihat dan waras? Mengapa dalam tempoh kurang dari lapan bulan beliau telah mengundur diri untuk memberi peluang kepada ketuanya bertanding demi agenda politik?

"Agenda rakyat bagaimana pula? Bukankah salah untuk menggunakan dana awam mengadakan pilihan raya kecil yang tidak mempunyai sebab yang kukuh? Inikah yang dimaksudkan sebagai perjuangan demi rakyat," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd