Sejarah Umno Besut


Semangat ingin bebas penduduk daerah Besut daripada cengkaman penjajah Inggeris dibangkitkan oleh para pejuang "Persatuan Melayu Besut' yang wujud selepas perang dunia kedua. Persatuan ini mendapat sokongan moral daripada Tengku Lela Segara ( Tengku Sulong bin Tengku Ali ) Pesuruhjaya Daerah Besut.



Apabila Encik Kamaruddin bin Haji Idris menjadi Pegawai Daerah Besut ke-11 pada tahun 1947, semangat itu terus berkobar-kobar. Antara anak tempatan yang memberi sokongan kuat terhadap pimpinan persatuan itu ialah Ismail Yusof ( Tuk Cik Semail ), Ibrahim Ahmad, Wan Sulaiman Ibrahim, Ibrahim Janggut dan Wan Jusoh Wan Teh.

Pada tahun 1947 itu, dalam perjalanan pulang dari Kota Bharu, Kelantan, Pemimpin UMNO iaitu Dato' Onn bin Jaafar menerima jemputan pemimpin Melayu Besut untuk mengadakan pertemuan dengan pejuang-pejuang negara di Besut. Pertemuan dengan pemimpin agung itu diadakan dirumah Tengku Lela Segara di Kampung Raja. Kemudian Dato' Onn memberi ucapan di satu rapat rakyat di satu kawasan lapang ( bekas pasar lama Kg. Raja ). Maka hasil daripada kehadiran Dato' Onn, tertubuhlah UMNO di Kampung Raja, Besut.

Ahli Jawatankuasa pertamanya terdiri daripada;

Ketua - Tengku Lela Segara

Setiausaha - Ismail bin Yusof

Bendahari - Shamsuddin bin Mohamad Sharif

Jawatankuasa - Ibrahim bin Ahmad

- Wan Sulaiman bin Ibrahim

- Zainal Abidin bin Mohd Amin

Bagaimanapun, pimpinan UMNO ini yang juga pegawai tinggi kerajaan mendapat tekanan daripada Pegawai Inggeris yang bertugas di situ iaitu I. M. Edye. Beliau memberi amaran keras kepada Pegawai Kerajaan supaya tidak melibatkan diri dalam politik. Akibatnya Tengku Lela Segara terpaksa berundur memimpin UMNO Kampung Raja. Pimpinan itu diambilalih oleh Abdul Aziz Hussein.

Pada Tahun 1953, UMNO Kampung Raja diketuai oleh Daud Dahalan yang ketika itu bertugas sebagai Penolong Pegawai Daerah.Beliau juga mendapat tekanan dan terpaksa berundur juga. Hasilnya muncullah seorang guru pelawat yang bertugas di Pejabat Kadi Besut iaitu Ustaz Mohd Yusof Manaf.

Seperti Daerah lain, rakyat Besut juga sudah dihadapkan Pilihanraya pada 1954. Oleh kerana tidak ada parti yang kuat, maka calon-calon UMNO Abdul Aziz Hussein, Zainal Abidin Mohd Amin telah menang menewaskan lawan masing-masing. Zainal Abidin menang tanpa bertanding. Turut menang kemudiannya ialah Abu Bakar Ahmad.


PEMIMPIN GURU AGAMA

Dibawah pimpinan Ustaz Mohd Yusuf Manaf, UMNO Kampung Raja berkembang pesat. Peranan yang dimainkan oleh beliau ialah menyebarkan tujuan perjuangan UMNO kepada masyarakat Besut ketika beliau menyampaikan ceramah agamanya di Kampung-kampung. Pada ketika itu ramai juga dikalangan penduduk Besut mencemuh usaha murni pemimpin UMNO.

Ustaz Mohd Yusof Manaf dibantu oleh Wan Sulaiman Ibrahim yang ketika itu bertugas sebagai Guru Kumpulan Sekolah Melayu Besut. Ketika melawat sekolah dan bertemu Guru Besar dan guru-guru, beliau mengambil kesempatan menerangkan perjuangan UMNO kepada mereka. Beliau mahu mereka menjadi penyambung maklumat antara pemimpin dengan rakyat.

Antara yang menyahut seruan dan menjadi penting kepada UMNO ialah Sulong Ngah dari Jerteh, Mohammad Din di Alor Lintah dan Muhamad Abdul Rahman serta Abu Bakar Omar di Kuala Besut. Dua orang daripada mereka berjaya menubuhkan cawangan. Sulong Ngah menubuhkan Cawangan di Jerteh pada tahun 1953 dan Muhammad Abdul Rahman membuka Cawangan di Kuala Besut pada tahun 1957. Turut menganggotai Jawatankuasa cawangan ini ialah Abdul Hamid Ahmad, Muda Yusof, Abdul Shukur Abdul Rahman, Mohd Amin Yusof, Ali Othman, Awang Mahmud, Abdul Rahman Muhd Zin, Ab. Razak Mohd Jaya dan Hamzah Muhammad.

Walaupun di Besut ini, terdapat ramai cerdik pandai tetapi keadaan dan suasana tidak mengizinkan lebih banyak cawangan UMNO ditubuhkan. Ini disebabkan pengaruh Parti Rakyat Malaya amat kuat di daerah ini terutamanya di Kuala Besut. Sebagai contoh, apabila UMNO hendak ditubuhkan disitu pada tahun 1957, percubaan ini mendapat tentangan hebat daripada PRSM Kuala Besut di bawah pimpinan Wan Ali Jusoh

Bagaimanapun, dengan sifat tegas dan berani Ibrahim Fikri bin mohamad yang waktu itu bertindak sebagai Ahli Dewan Undangan Persekutuan mewakili Besut berjaya menubuhkan cawangan Kuala Besut pada 22 Februari 1957 dibawah pimpinan Haji Mahmud Muda dan Setiausahanya Muhamad Abdul Rahman disamping Ketua Pemudanya Abdul Samad Long.


PENUBUHAN UMNO BAHAGIAN

Cawangan UMNO di Daerah Besut yang mempunyai bilangan yang sedikit itu diletakkan di bawah UMNO Bahagian Kuala Terengganu mulai 1951. Oleh kerana kedudukan yang jauh, banyak masalah parti tidak dapat diselesaikan dengan mudah. Menubuhkan sebuah Bahagian memerlukan Cawangan UMNO yang sekira-kira layak atau boleh diiktiraf sebagai besar.

Dalam hubungan ini, Ustaz Muhd Yusof Manaf sekali lagi memainkan peranan penting. Kemudian UMNO negeri mengirimkan seorang pemuda Hussein Sulaiman menguruskan penubuhannya itu pada 31 Ogos 1958. Dalam mesyuarat penubuhannya, barisan jawatankuasa adalah seperti berikut:-

Ketua : Ustaz Mohd Yusof Manaf (sekarang Dato')

Tim. Ketua : Zainal Abidin Mohd Amin

Ketua Pemuda : Jabir Muhd Shah

Ketua Wanita : Tengku Cik Wook bt. Tengku Abdul Rahman

Setiausaha : Hussein Sulaiman

Ketua Penerangan : Abu Bakar Ahmad (Sekarang Dato')

Bendahari : Ismail Mohd Yusof



Jawatankuasa terdiri daripada : Tuan Rogayah Idrus, Che Mahmud Muda, Haji Wan Abdul Latif Abdul Kadir dan Omar Abdullah.

Pada peringkat Awal penubuhan, UMNO Bahagian mempunyai lima Cawangan sahaja iaitu Cawangan Kampung Raja diketuai oleh Abu Bakar Ahmad disamping barisan pemimpin lain ialah Wan Ismail Ali, Wan Ishak Ali, dan Ismail Muhd Yusof. Umno Cawangan Jertih pula diketuai oleh Jusoh bin Abdul Hamid (Haji) dengan barisan pemimpin lain terdiri daripada Haji Wan Abdul Latif bin Abdul Kadir, Jabir Ahmad Shah, Mohd Nasir Mohd Nor, Haji Awang Abdullah, Mohd Nor Hussein dan Abdul Wahab Rahman sebagai Ketua Pemuda.

Cawangan Pasir Akar pula diketuai oleh Hussein Mat Saman dengn barisan pemimpin lain ialah Abdullah, Omar Abdullah, Nik Abdul Salam Kasim, Abdul Rahman Husein dan Ismail Abdul Rahman selaku Ketua Pemuda. Manakala Cawangan Kuala Besut pula dipimpin oleh Abdul Razak Mohd Jaya dengan barisan Pemimpin Tertingginya terdiri daripada Ibrahim Ahmad, Husein sulaiman (memangku), Hamzah Muhammad, Sallah Jaafar dan Ketua Pemudanya, Che Ali Awang. Sebuah Cawangan dari Setiu iaitu Calok dimasukkan ke dalam Bahagian Besut ini.

Pada peringkat Awal UMNO Bahagian ini tidak begitu stabil.Unsur tidak puas hati dan ingin jatuh menjatuh sudah menular. Di peringkat ini, PAS sudah masuk dan berjaya menubuhkan beberapa ranting. Kemasukan dan penyerapan parti ini diselenggarakan oleh pemimpin mereka dari Kelantan.

Ketika UMNO Bahagian masin belum mantap, Ketua Bahagian terpaksa meletakkan jawatan kerana sebagai Pegawai Kerajaan, beliau ditukarkan ke Kuala Terengganu. Ahli UMNO Besut tidak boleh membiarkan Bahagian terumbang- embing. Dengan itu, Ketua Penerangannya Abu Bakar Ahmad memangku jawatan tersebut.

Dalam keadaan yang tidak kuat inilah, pilihanraya pertama peringkat Negeri dialngsungkan setahun kemudian. Ketika PAS sudah memperkuatkan jenteranya. Pemimpin besar mereka Dr. Burhanurdin Hilmy memilih kerusi Parlimen Besut dalam Pilihanraya Umum 1959 ini. Semua calon UMNO yang bertanding di Dewan Negeri iaitu Abu Bakar Ahmad ( Kuala Besut ) , Wan Ishak Ali (Kampung Raja), Zainal Abidin Mohd Amin (Hulu Besut), Ismail yusof (Besut Tengah) dan Mohd Yusof Mohd Amin (Setiu) mengalami kekalahan teruk kepada calon-calon PAS. Undi yang diperolehi oleh calon PAS jauh mengatasi undi calon UMNO sehingga 3-4 kali ganda. Malah undi yang dimenangi oleh calon PRSM di Kuala Besut dan Hulu Besut mengatasi undi calon UMNO.

Dalam pilihnaraya umum 1964, UMNO masih tidak menumbangkan calon PAS di Hulu Besut dan Besut Tengah. Bagaimanapun, UMNO kembali pulih di dua kerusi tersebut dalam Pilihanraya 1969 tetapi terlepas pula kerusi Kuala Besut. Namun sepanjang tahun 1974 hingg 1986, yang melibatkan empat kali Pilihanraya umum, PAS yang bercita-cita untuk menumbangkan BN tidak berdaya berbuat demikian. Rakyat Besut tidak terikat atau terbias dengan cita rasa orang-orang Kelantan.