Puteri UMNO Besut dekati pesakit kronik


BESUT 7 Feb. - Rombongan lebih 30 ahli pergerakan Puteri UMNO Bahagian Besut meluangkan masa bersama kanak-kanak yang menghidap sindrom kejutan septisemia kulit lecur di Kampung Pengkalan Nyireh dekat sini semalam.
(Gambar Ernie Salwanie Saidi (empat dari kiri) bersama ahli Puteri UMNO Besut dan DUN Kota Putera memasang rak pinggan semasa mengunjungi rumah pesakit kronik di Kampung Pengkalan Nyireh di Besut, Terengganu, kelmarin)
Rombongan diketuai ketuanya, Ernie Salwanie Saidi itu turut disertai beberapa ahli jawatankuasa Puteri UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera sambil membawa barangan keperluan untuk didermakan kepada keluarga tersebut.

Sumbangan itu antaranya makanan keperluan harian, peralatan dapur dan alatan permainan kanak-kanak bagi menceriakan pasangan Nor Azmi Mat Hassan, 39, dan isterinya, Roswati Abdullah, 35, serta empat anak mereka.

Anak bongsu pasangan itu, Norhafizzudin, 2, disahkan menghidap penyakit yang jarang-jarang menimpa kanak-kanak itu dan terpaksa menjalani pembedahan setelah paha kirinya dijangkiti kuman dua bulan lalu.

Ekoran itu, Norhafizzudin terpaksa menjalani tiga pembedahan dan dirawat lebih sebulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kelantan dengan perbelanjaan kira-kira RM1,200.

Ernie, ketika ditemui di rumah keluarga itu berkata, kunjungan itu bertujuan melihat lebih dekat keadaan kanak-kanak malang tersebut sambil menghulurkan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung keluarga berkenaan.

Dalam kunjungan itu, katanya, mereka turut bergotong-royong mengemas dan membersihkan bahagian luar dan dalam rumah itu supaya lebih ceria dan pada masa sama dapat mengeratkan hubungan dengan keluarga itu.

"Setakat ini, kita membelanjakan kira-kira RM500 untuk membeli beberapa peralatan rumah terutama untuk kegunaan dapur dan kita akan lihat apa yang sesuai untuk meringankan masalah keluarga ini.

"Puteri UMNO Besut akan meneruskan aktiviti turun padang untuk berjumpa golongan keluarga miskin dan ditimpa bencana supaya masalah yang mereka hadapi dapat ditangani bersama," ujarnya.


© Utusan Melayu (M) Bhd