Paya Peda jadi muzium hidup


BESUT 6 Feb. - Alam yang terbentang dan apa yang terbenam, boleh diajak 'bercerita' kisah masa silamnya, tentang asal usul kejadian, perkembangan, evolusi kehidupan dan apa yang mungkin berlaku pada masa depan.



Tentunya ini boleh 'didengari' melalui peranan ahli geologi hasil daripada pengamatan dan penyelidikan tentang sains bumi dengan membawa menyusuri waktu silam beratus juta tahun yang lalu menerusi monumen yang wujud dan berjaya ditemui setelah terpendam sekian lama.

Terengganu adalah sebuah negeri yang kaya dengan kepelbagaian geologi dan landskap, turut menyimpan rekod sejarah bumi yang penting.

Ini mempunyai kaitan rapat dengan ketamadunan manusia seperti gua tempat tinggal masyarakat purba dan bekas lombong lama, memiliki keindahan tabii yang luar biasa, digolongkan sebagai sumber warisan geologi.

Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia dengan kerjasama Kumpulan Warisan Geologi Malaysia serta komuniti geologi yang lain memulakan kerja-kerja inventori pencirian, pengelasan, penilaian dan penarafan berkaitan sumber warisan geologi (SWG) sejak tahun 2000.

Sehingga kini, negeri ini merekodkan 23 lokasi sebagai sumber warisan geologi dengan mana dua daripadanya diberi penarafan luar biasa iaitu Bukit Keluang dan Bukit Bewah.

Ini disusuli penemuan tumbuhan purba, dianggarkan berusia antara 270 juta hingga 350 juta tahun ditemui dalam keadaan terawet di satu kawasan bukit berhampiran projek pembinaan Empangan Paya Peda, Hulu Besut sejak akhir tahun lalu.

Penemuan awal di lokasi itu membayangkan kemungkinan banyaknya warisan geologi ini di sini yang boleh membantu meningkatkan kecintaan dan penghargaan terhadap warisan bumi, penuh dengan keunikan untuk terus dipelajari, difahami, dikaji dan dihargai.

Penemuan fosil tumbuhan melibatkan tujuh genus di Paya Pedu ini seperti mana didedahkan kepada media baru-baru ini, sekali gus penarafan luar biasa kerana kepelbagaian genus fosil ditemui.


KetuaPengarah JMG, Datuk Yunus Abd. Razak memberitahu, setakat ini fosil yang direkodkan dalam bentuk tempelan atau teraan di batu-batan di kawasan sedalam lebih 100 meter itu termasuklah daun, bunga, akar, buah dan corak batang pokok.

Beliau menyifatkan ini suatu yang sangat bermakna, antara lain bakal membuka lembaran sejarah baharu termasuk menentukan usia negara ini, di samping kaitannya dengan kewujudan rantau ini.

Penemuan genus fosil tumbuhan yang telah lenyap itu penting bukan sahaja kepada ahli geologi di negara lain, malah akan dirujuk oleh pakar dari luar seperti Thailand, Vietnam dan China kerana pernah ditemui di negara berkenaan.

"Penemuan ini merupakan sebahagian bukti kukuh yang mana sebahagian timur Semenanjung, Thailand, Vietnam, Indonesia serta selatan China dulunya merupakan satu benua yang diberi nama Cathaysian," katanya.

Menurut Yunus, Paya Peda akan diberi penarafan luar biasa ketiga di negeri ini dari segi sumber warisan geologi selepas Bukit Keluang dan Bukit Bewah, namun Paya Peda lebih istimewa kerana wujudnya kepelbagaian genus fosil tumbuhannya.

"Tumbuh-tumbuhan pada zaman tersebut terdiri daripada beberapa jenis pokok sahaja dan mudah dikenal pasti, dipercayai tumbuh di kawasan paya yang luas, padat dengan tumbuh-tumbuhan.

"Kesemua fosil tumbuhan itu ditemui semasa kerja-kerja pemotongan jalan untuk laluan sekitar kawasan pembinaan empangan itu yang dimulakan pada tahun 2011," ujarnya.

Katanya, susulan itu, JMG Terengganu dengan kerjasama beberapa pihak telah melakukan beberapa siri kerja lapangan, antaranya pemetaan geologi awal bagi mengenal pasti jujukan batu berfosil dan mendapati serpihan fosil tersimpan baik dalam jujukan syal berkarbon, berketebalan 50 meter.

Yunus menjangkakan mungkin terdapat fosil hidupan lain seperti ikan, serangga dan haiwan berkaki empat (tetrapod) yang boleh ditemui kerana genus tumbuhan itu hidup di persekitaran berpaya atau tasik serta bercuaca panas pada zaman itu.

"Adalah menjadi harapan JMG lokasi penemuan fosil tumbuhan ini dipelihara dengan langkah mewartakannya serta dijadikan muzium hidup untuk penyelidikan pelajar serta pensyarah institusi pengajian tinggi," tegasnya.

Malah kemungkinan selain berperanan menyalurkan kesejahteraan kepada masyarakat sebagai sumber bekalan air bersih dan mengairi tanaman, Empangan Paya Pedu akan menjadi tarikan lebih besar jika dapat diangkat sebagai sebuah taman geo.

Taman yang bukan sahaja bagi tujuan pemuliharaan dan melestarikan sumber warisan itu turut membuka peluang untuk penelitian dan pendidikan serta berpotensi besar bagi mengembangkan ekonomi setempat melalui industri pelancongan.


© Utusan Melayu (M) Bhd