Nasib anak yatim piatu terbela


SETIU 2 Feb. - Seorang anak yatim piatu yang tercicir dari alam persekolahan sejak empat tahun lalu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Datuk Sabri Mohd. Nor yang bersedia membantunya bersekolah semula.

Pelajar malang itu, Mohd. Azizi Khairudin, 15, tinggal di Kampung Langkap, Sungai Tong di sini bersama tiga lagi abangnya iaitu Mohd. Azmi, 29, Mohd. Azam, 26, dan Mohd. Azizul, 18.

Bapa mereka, Khairudin Mat Saman, seorang penoreh getah meninggal dunia 10 tahun lalu akibat penyakit paru-paru berair manakala ibu mereka, Rohana Awang, 46, meninggal dunia lebih sebulan lalu kerana kanser payu dara.

Mohd. Azizi yang pernah bersekolah setakat tahun lima di Sekolah Kebangsaan Merbau Menyusut dekat sini terpaksa berhenti sekolah kerana kemiskinan keluarga.

Dalam pada itu, Sabri berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib Mohd. Azizi dan kerana itu, beliau akan berusaha bagi menempatkan semula remaja itu di sekolah.

"Saya akan jumpa dan berbincang dengan PPD mengenai masalah Mohd. Azizi ini dan jika dia diterima sekolah semula, saya akan sumbang pakaian seragam serta peralatan sekolah lain. Saya simpati dengan Mohd. Azizi kerana dia bukan setakat hilang ibu bapa malah juga terbantut dalam pelajaran dan tiada masa depan," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Baru-baru ini, Sabri yang juga Pengerusi Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) negeri bersama Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Langkap, A. Rahman Mamat mengunjungi keluarga berkenaan.

Dalam lawatan itu, Sabri turut menghulurkan RM1,500 untuk perbelanjaan harian termasuk bayaran bil elektrik dan air yang tertunggak sejak beberapa bulan lalu.

Pada masa ini, Mohd. Azmi yang masih bujang menjadi ketua keluarga dengan menyara tiga adiknya termasuk Mohd. Azizi hasil pendapatan mengambil upah menoreh getah.

Menurut Mohd. Azmi, adiknya, Mohd. Azizul tidak berupaya melakukan sebarang pekerjaan kerana kaki kanannya dipotong akibat kanser tulang sejak tiga tahun lalu.

"Saya dan adik-adik mengucapkan setinggi terima kasih kepada Datuk Sabri yang sedia bantu kami, sekurang-kurangnya sebagai pengubat segala kesengsaraan yang kami tanggung," katanya.


© Utusan Melayu (M) Bhd