Pertikai Khutbah : Kit Siang Tak Faham Usah Pandai Buat Fitnah


Pertikai Khutbah : Kit Siang Kalau Tak Faham Usah Pandai Buat Fitnah
KUALA LUMPUR, 4 Feb – Exco Pemuda UMNO Malaysia, Ustaz Fathul Bari menyelar tindakan Ahli Parlimen Gelang Patah,  Lim Kit Siang yang terus-terusan cuba mempolitikkan agama Islam dengan mendakwa ayat AL Quran yang dibaca dalam satu khutbah Jumaat baru-baru ini sebagai satu seruan meniupkan sentimen persengketaan agama di dalam negara ini.

ustaz fathul bari

Menurut Fathul, pemimpin DAP itu sepatutnya bertanya terlebih dulu apa maksud ayat tersebut dan jangan mentafsir ayat tersebut sesuka hati memandang beliau tidak memahami isi kandungan ayat Al Quran.

“Saya minta Lim Kit Siang, kalau tak faham jangan cuba tafsir sebarangan mengikut akalnya. Bagi saya, tindakan beliau itu tidak lebih hanya sekadar cuba untuk terus menimbulkan ketegangan berhubung isu kalimah Allah yang boleh mengeruhkan lagi suasana di antara penganut Islam dan agama lain di negara ini.

“Inilah masalah Lim Kit Siang. Beliau tidak faham maksud ayat itu dan terus buat serangan, kononnya ayat tersebut meniup kepada sentimen perbalahan agama. Sepatutnya dia minta JAKIM jelaskan apa maksud ayat itu, bukannya bertindak  menyerang dan mengkritik semberono tanpa pengetahuan.

“Perangai Lim Kit Siang ini tidak ubah seperti sikap seorang ahli politik Belanda, Arnold Van Doorn yang menerbitkan filem pendek Fitna yang jelas memperlihatkan ilmu pengetahuannya yang cetek tentang Islam,” tegasnya.

Beliau seterusnya menjelaskan bahawa ayat tersebut merupakan ayat yang menjurus kepada soal akidah antara kaum muslimin, Nasrani dan juga Yahudi, dan bukannya ayat yang mengajak kepada persengketaan agama.

“Lim Kit Siang perlu faham, Islam bukan memerangi atau memusuhi semua manusia yang bukan Islam. Di dalam Islam, ada empat kategori non Muslim iaitu, Harbi, Zimmi, Muahadah dan juga mustakman.

“Dalam soal ini, Islam hanya akan memusuhi non muslim yang termasuk di dalam kategori Harbi di mana mereka ini adalah golongan yang memerangi, menyakiti serta menindas umat Islam. Tetapi bagi non muslim yang mahu hidup dalam keadaan aman damai dalam keadaan berbilang bangsa dan agama, maka ia tidak menjadi masalah langsung bagi umat Islam,” jelasnya.

Malah ujar Fathul lagi, Islam juga melarang penganutnya untuk mencerca atau menghina kepercayaan penganut lain, apatah lagi untuk membunuh atau menindas golongan yang berlainan akidah, yang sudah tentunya merupakan perbuatan yang dilarang di dalam Islam.

“Kalau Lim Kit Siang nak faham tentang Islam, beliau boleh datang jumpa saya. Saya tidak keberatan untuk menerangkan beliau tentang Islam sehingga beliau benar-benar faham apa sebenarnya Islam itu.

“Oleh itu, saya nak nasihatkan Lim Kit Siang sama sepertimana nasihat Karpal Singh pada Anwar Ibrahim, iaitu Lim Kit Siang perlu bertaubat. Kalau nak tahu lebih mendalam tentang Islam, saya ulangi sekali lagi, sila jumpa saya. Saya akan terangkan tentang agama ini pada beliau sehingga hilang segala syak wasangkanya terhadap Islam,” ujarnya sinis. -MediaUMNO