Kerajaan Beri Layanan Sama Rata Pada Semua Kaum – TPM


MUAR, 8 Feb — Kerajaan mengamalkan dasar memberi layanan yang sama rata terhadap semua kaum atau kumpulan di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

najib-muhyiddin-peluang-kepimpinan-pemilihan-transformasi-politik-umno-agenda-agama-bangsa-negara-rakyat

Beliau yang juga anggota Parlimen Pagoh berkata, masyarakat Orang Asli dan juga masyarakat pribumi lain di Sabah dan Sarawak turut menerima layanan dan bantuan daripada kerajaan tanpa sebarang diskriminasi.

“Tidak ada diskriminasi daripada segi layanan kita (kerajaan) terhadap mana-mana masyarakat atau kaum di negara ini termasuk Orang Asli. Tidak ada perbezaan daripada segi layanan kita.

“Dasar kerajaan adalah adil dan saksama terhadap semua,” katanya pada majlis ramah mesra dengan masyarakat Orang Asli di Kampung Tambak Dapur di Pagoh hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, di antara soal yang paling dititikberatkan bagi pembangunan Orang Asli adalah pendidikan dan meminta ibu bapa masyarakat terbabit supaya tidak mengabaikan soal pendidikan anak-anak mereka.

Kerajaan, kata Muhyiddin, menyediakan pelbagai bantuan kepada masyarakat Orang Asli bagi membolehkan anak-anak mereka berjaya di dalam bidang pelajaran.

Di majlis yang sama juga, beliau mengumumkan peruntukan RM100,000 bagi membina taman permainan serta pelbagai kemudahan bagi rekreasi penduduk masyarakat Orang Asli di Kampung Tambak Dapur.

Selain itu, katanya, kerajaan menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah turut memperuntukkan RM500,000 bagi memperbaiki sistem bekalan air ke kampung itu.

Menurut Muhyiddin, kerajaan sentiasa berusaha untuk mempertingkat kemudahan kesihatan masyarakat Orang Asli seluruh negara.