Bantuan bukti Kerajaan Pusat tidak pilih bulu


KOTA BHARU 3 Feb. - Seramai 2,206 pelajar Ma'ahad Muhammadi (Perempuan) menerima Bantuan Awal Persekolahan 2014 dengan jumlah keseluruhannya RM220,600.

Bantuan tersebut sekali gus membuktikan kebajikan sekolah-sekolah di bawah kelolaan Kerajaan Pas Kelantan tidak pernah dipinggirkan oleh Kerajaan Pusat.

Pengetua sekolah itu, Mohd. Mansor Daud berkata, bantuan itu amat dihargai bagi membantu menyempurnakan keperluan sekolah terutama pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.

"Ini kali ketiga kami menerima bantuan ini bermula 2012 dengan purata 2,200 pelajar sekolah ini memperoleh manfaat setiap tahun.

"Pihak sekolah berharap pelajar akan menggunakan wang ini sebaik-baiknya dan belajar bersungguh-sungguh tanda bersyukur dengan bantuan yang diperoleh ini," katanya selepas majlis penyerahan bantuan kepada pelajar di dewan sekolah itu di sini hari ini.

Sementara itu seorang pelajar tingkatan lima, Hirtieni Mohd. Shaufi, 17, dari Kampung Ana, Tumpat berkata, dia akan menyerahkan wang itu kepada ibunya, Sarinah Che Ya, 51, seorang ibu tunggal yang tidak mempunyai punca pendapatan tetap.

Anak kelima daripada enam beradik itu kehilangan ayah, Mohd Shaufi Jusoh pada 2009 akibat serangan jantung.

"Kami bukan keluarga yang berharta kerana arwah ayah hanya bekerja sebagai buruh dan ibu pula suri rumah. Setakat ini kami bergantung kepada kakak dan abang yang menghulurkan bantuan sekadar termampu.

"Keadaan ini bukan penghalang kepada saya untuk belajar bersungguh-sungguh dan mencapai cita-cita menjadi seorang doktor. Saya bersyukur kerana sebelum ini sudah dapat menghadiahkan ibu keputusan 9A pada Penilaian Menengah Rendah (PMR)," katanya.

Turut menerima sumbangan, Tengku Awanis Alim Tengku Azmi, 17, yang juga anak kepada Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK), Tengku Azmi Tengku Jaafar.

Ketika ditemui, Tengku Awanis Alim berharap usaha Kerajaan Pusat membantu pelajar-pelajar sekolah di seluruh negara itu diteruskan kerana ramai pelajar dari keluarga kurang bernasib baik memerlukan bantuan itu walaupun mungkin dianggap sedikit oleh sesetengah pihak.

"Ada antara rakan saya yang sebelum ini terpaksa bersabar memakai uniform yang lusuh tetapi kini mereka berpeluang membeli baju sekolah baru menggunakan bantuan ini.

"Saya sendiri bercadang menyerahkan wang ini untuk tabung pembinaan masjid sekolah dan juga membantu rakan-rakan lain," katanya yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

© Utusan Melayu (M) Bhd