Hanya ISA layak untuk penghasut


KUALA LUMPUR 3 Feb. - Tiada tindakan undang-undang yang paling berkesan boleh diambil terhadap ahli politik yang membangkitkan isu perkauman dan memperlekehkan keselamatan negara selain Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Pensyarah Undang- undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Sham Rahayu Ab. Aziz berkata, ini kerana undang-undang sedia ada dilihat sukar dan terlalu longgar untuk menghukum mereka yang bertindak melampau terutama menghasut rakyat membenci kerajaan.

"Undang-undang yang paling sesuai dikenakan adalah ISA tetapi telah pun dimansuhkan. Jadi, hendak guna undang-undang lain, saya rasa memang sukar kerana undang-undang yang ada seolah-olah tidak mampu berbuat apa-apa.

"Ini terbukti sebab banyak kes terdahulu masih tergantung dan itu menjadi punca ahli politik sekarang tidak berhenti mengutuk kerajaan kerana mereka yakin tidak akan dikenakan tindakan biarpun beratus-ratus laporan polis dibuat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebuah klip video di laman YouTube sempena Tahun Baharu Cina memaparkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok selaku moderator bersama tiga tetamu undangan mengeluarkan kenyataan menyindir beberapa perkara termasuk sistem pendidikan negara, isu keganasan di Sabah serta penghinaan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malah, seorang tetamu yang diperkenalkan sebagai Master Yan Yan ketika ditanya tentang kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 di Sabah, secara jelas mengutuk kerajaan dengan berkata: "Anda boleh melancong ke Sabah di mana anda boleh melihat lanun dengan pertunjukan bonus penculikan dan babak tembakan."

Dalam pada itu, Sham Rahayu turut menggesa agar ahli politik kerajaan 'bangun dari tidur' dan membalas strategi politik 'gila kuasa' pembangkang dengan strategi politik yang lebih bijaksana dan bukannya berharap kepada undang-undang semata-mata.

Ujarnya, untuk 'membunuh' politik sebegitu, ahli politik kerajaan perlu bijak menghadapi mereka dengan menggunakan cara yang lebih ke hadapan kerana ketika ini, Pejabat Peguam Negara juga dilihat seolah-olah tidak mampu berbuat apa-apa.

"Jika mereka (pembangkang) kebal dengan undang-undang, saya rasa ahli politik perlu ada strategi psikologi yang lebih baik untuk menghadapi mereka.

"Saya bukan kata sistem perundangan negara tidak bagus tetapi sikap ahli politik pembangkang yang bertindak di luar batas perlu ditangani segera kerana kita bimbang hendak tunggu mereka dikenakan tindakan, lebih banyak perkara mencetuskan isu perkauman berlaku," jelasnya.

© Utusan Melayu (M) Bhd