Sultan Azlan Shah Mahu Rakyat Terus Bersatu


KUALA KANGSAR, 3 Feb – Sultan Perak Sultan Azlan Shah mengingatkan rakyat supaya terus bersatu, hidup dalam muhibbah, rukun dan harmoni bagi membantu membina sebuah negara yang maju dan makmur.

Pesanan itu disampaikan oleh Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah dalam titah ucapan baginda pada Majlis Kesyukuran 30 Tahun Pemerintahan Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah di sini, hari ini.


“Meskipun Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ketika ini masih dinasihatkan oleh pakar-pakar perubatan untuk beristirahat, namun baginda mengikuti perkembangan yang sedang berlaku, malah keadaan rakyat jelata sentiasa berada dalam pemikiran baginda.

“Sempena ulang tahun 30 tahun pemerintahan, baginda menitahkan dizahirkan tujuh peringatan,” titah Raja Nazrin.

Baginda bertitah Sultan Azlan Shah mengingatkan tentang kepentingan berpegang kepada prinsip ketuhanan, menginsafi kebesaran Yang Maha Mencipta dengan memperlihatkan sifat kemanusiaan, kasih sayang sesama insan di samping tidak melakukan kemusnahan alam dan kezaliman sesama makhluk.

Raja Nazrin bertitah peringatan kedua ialah keperluan mengamalkan sifat bersyukur dengan setiap nikmat anugerah Ilahi agar dikurniakan nikmat lebih besar, di samping menerima ujian dengan penuh ketabahan.

Baginda bertitah Sultan Azlan Shah turut memberi peringatan bahawa setiap pangkat dan jawatan hendaklah dipenuhi dengan amanah serta sentiasa mengingati setiap akauntabiliti kepada rakyat.

Sultan Azlan Shah turut mengingatkan supaya nikmat kekayaan sumber negeri dan negara diurus dengan cekap, jujur, telus dan berintegriti dengan menjauhi amalan rasuah, salah guna kuasa serta pembaziran agar negara dapat dimakmurkan dan kehidupan majoriti rakyat dapat disejahterakan.


Peringatan baginda juga merangkumi aspek kepentingan mengutamakan  perpaduan rakyat negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum, mengamalkan pelbagai agama, berlatarbelakangkan pelbagai budaya dan bahasa.

Raja Nazrin bertitah Sultan Azlan Shah turut memberi peringatan tentang kepentingan mengamalkan pemerintahan yang berlandaskan undang-undang kerana undang-undang tidak sahaja perlu digubal tetapi lebih penting untuk dihormati, dikuatkuasakan secara adil tanpa diskriminasi atau prejudis.

Dalam peringatan baginda, Sultan Azlan Shah turut menggariskan kepentingan pemerintah menyempurnakan amanah berlandaskan prinsip Raja Berperlembagaan yang berfungsi sebagai tonggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan dan payung penyatuan.

Raja Nazrin bertitah Sultan Azlan Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun menzahirkan terima kasih di atas perutusan ucap selamat serta doa berterusan daripada rakyat jelata ke atas kesejahteraan baginda berdua.

“Majlis kesyukuran yang dilangsungkan hari ini, adalah atas titah baginda supaya dapat dizahirkan apresiasi baginda kepada seluruh rakyat yang telah  membuktikan kesetiaan dalam tempoh tiga puluh tahun pemerintahan baginda,” titah Pemangku Raja Perak.

Sultan Azlan Shah yang merupakan Sultan Perak ke-34 mula bersemayam di takhta pemerintahan pada 3 Feb 1984. Baginda adalah Sultan Perak kedua paling lama berada di takhta pemerintahan.-MediaUMNO