Video Teresa Kok Cerminan Nilai Politk Cerca Pembangkang…


KUALA LUMPUR, 4 Feb. – Sikap tidak ikhlas pembangkang sebagai pemimpin politik sewajarnya dijadikan cermin kepada rakyat kerana banyak bukti menunjukkan bahawa di kalangan mereka lebih gemar menangguk di air keruh daripada membantu kesusahan rakyat, kata Ketua Pergerakan Wanita UMNO Pasir Salak, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Nordin.



Katanya, jika pemimpin pembangkang benar-benar bersikap ambil berat dan prihatin terhadap kesusahan rakyat maka tentunya mereka akan membantu atau memberikan banyak solusi bagi dilaksanakan sebagai alternatif untuk kesenangan rakyat.

“Apabila berlaku kenaikan harga barangan membabitkan keperluan harian, pakatan pembangkang memarakkan lagi keresahan rakyat dengan menuding jari terhadap kerajaan serta mengambil sikap lepas tangan walhal mereka adalah ahli Parlimen dan wakil rakyat yang perlu bertanggungjawab,” katanya kepada UMNO-Online.


Lebih teruk lagi katanya apabila ada di kalangan mereka yang mempersenda situasi semasa sebagaimana Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dengan mewujudkan penerbitan video Tahun Baharu Cina yang dilihat menyindir kepemimpinan negara.

“Inilah sikap pemimpin yang tidak jujur, tidak mengambil berat permasalahan rakyat sebaliknya menggunakan peluang yang ada untuk menarik populariti masyarakat kepada dirinya tanpa mengambil kira kepentingan awam.

“Bukankah lebih baik jika Teresa selaku wakil rakyat menggunakan kos bagi menerbitkan video terbabit untuk menghasilkan bentuk lain sama ada berkongsi idea atau apa-apa cadangan yang boleh mendatangkan kesan kepada rakyat dan meringankan beban apatah lagi durasi video selama lebih 11 minit tersebut lebih banyak berunsur provokasi daripada membawa kebaikan,” katanya.

Bidasnya, sikap pemimpin pembangkang yang sedemikian adalah antara bukti bahawa mereka tidak berminat untuk membantu rakyat sebaliknya mereka lebih mementingkan diri sendiri dan enggan memahami kesulitan rakyat.

“Mereka akan jadikan apa-apa sahaja perkara berbangkit sebagai modal untuk berpolitik dan meraih populariti terutamanya isu yang menghimpit rakyat untuk dipersenda bagi menyemarakkan kegelisahan rakyat membenci kerajaan.

Tegas beliau, tindakan pembangkang tersebut amat berbeza dengan langkah kerajaan yang sentiasa mengutamakan rakyat dan mengambil pelbagai langkah bagi membantu mereka berdepan kesulitan.

“Apabila berlaku kenaikan harga di pasaran, kerajaan tak pandang sepi, bukan main cakap tuduh sana, tuduh sini, pemimpin kerajaan tidak duduk diam tetapi mereka turun padang membuat tinjauan dan kajian, kemudian barulah tindakan dibuat berdasarkan kepada hasil tinjauan sebagaimana kempen penurunan harga barang.

“Pemimpin kerajaan bukan main cakap macam pemimpin kerajaan yang sebelum ini berjanji macam-macam, kalau menang harga kereta nak diturunkan, tol nak dihapuskan dan macam-macam lagi tapi bila tak berjaya tunai segala janji maka kerajaan pusat pula dipersalahkan.”

Tambah beliau lagi, sudahlah pakatan pembangkang gagal membantu rakyat, menyumbang idea pun tidak tapi lebih teruk lagi apabila menjadikan isu tempatan sebagai bahan untuk populariti yang divideokan sebagaimana Teresa Kok sendiri.

Dilaporkan, sebuah klip video di laman YouTube sempena Tahun Baharu Cina memaparkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok selaku moderator bersama tiga tetamu undangan mengeluarkan kenyataan menyindir beberapa perkara termasuk juga sistem pendidikan negara dan isu keganasan di Sabah. - MediaUMNO