Ceramah Anwar terbukti hambar


KUALA LUMPUR 7 Feb. - Ceramah Perdana Datuk Seri Anwar di Taman Koperasi Cuepacs dekat sini malam semalam hambar apabila hanya dihadiri kira-kira 300 orang.

Keadaan itu dilihat satu tamparan kepada Anwar yang juga calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang kerana beliau sebelum ini dilabel sebagai pemimpin 'bertaraf dunia' oleh para penyokongnya.

Ketibaan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu pada pukul 10.50 malam juga sekadar menerima tepukan lemah daripada orang ramai.

Ceramah beliau mengulangi isu-isu berhubung kenaikan harga barang dan tohmahan terhadap UMNO serta Barisan Nasional (BN) yang menyebabkan beberapa penduduk mengeluh bosan dan meninggalkan majlis.

Terdapat juga dalam kalangan penduduk yang tidak mempedulikan kehadiran Anwar di pekarangan tempat lapang kawasan perumahan mereka itu dengan berada jauh daripada pentas ceramah menyebabkan Ketua Pembangkang itu dilihat seolah-olah 'syok sendiri'.

Pada ceramah tersebut, Anwar menyatakan bahawa beliau akan menyelamatkan Selangor sambil membayangkan pentadbiran kerajaan negeri di bawah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim gagal menyelesaikan isu air.

"Abdul Khalid sudah lima tahun berbincang berhubung isu air Selangor, tapi akhirnya terbengkalai juga," kata beliau.

Anwar menambah, penglibatan beliau dalam pentadbiran negeri selepas ini akan memastikan rekod baik Abdul Khalid dalam pengurusan ekonomi dipertingkatkan.

Yang turut hadir, Ahli Majlis Tertinggi Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Abdullah Sani Abdul Hamid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Andalas, Xavier Jayakumar.

Sementara itu, seorang penduduk yang mahu dikenali Azizi menjelaskan, punca utama ceramah itu hambar mungkin kerana masyarakat Kajang masih terguris dengan politik yang diamalkan PKR sehingga mengheret rakyat dalam isu dalaman parti.

Katanya, mereka tidak begitu teruja dengan kedatangan PRK tersebut kerana terasa seolah-olah menjadi mangsa dalam percakaran politik kepartian.

"Apa yang Anwar sampaikan juga adalah isu nasional yang jauh menyimpang daripada realiti sebenar masalah penduduk iaitu kesesakan, banjir dan pekerjaan," katanya.


© Utusan Melayu (M) Bhd