Isu pecat: Azmin kecam Khalid


KUALA LUMPUR 7 Feb. - Perbalahan di antara pemimpin-pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Selangor semakin hangat berikutan tindakan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memecat 19 kakitangannya baru-baru ini.

Terbaharu, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali secara terbuka mengecam tindakan itu yang dikatakan ada kaitan dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Malah, beliau mendakwa Abdul Khalid menggunakan PKNS sebagai senjata untuk menentang musuh-musuh politiknya.

"Dalam semangat keadilan dan tadbir urus yang baik, Abdul Khalid tidak boleh terus menjadikan PKNS sebagai senjata peribadinya untuk digunakan terhadap pihak-pihak yang dianggapnya sebagai musuh-musuh politik," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada 4 Februari lalu, akhbar melaporkan hampir 30 kakitangan kontrak PKNS Holdings Sdn. Bhd. (PHSB) iaitu anak syarikat PKNS dipecat serta-merta tanpa sebarang alasan daripada pihak pengurusan.

Surat arahan pemecatan bertarikh 3 Februari 2014 itu ditandatangani Pengerusi PHSB, Datin Norazlina Zakaria.

Semalam, Abdul Khalid tampil mempertahankan tindakan PKNS itu kononnya dibuat berdasarkan Ikrar Integriti.

Azmin digugurkan daripada jawatan Ahli Lembaga Pengarah PKNS berkuat kuasa 10 Januari lalu.

Beliau turut mendakwa, pemecatan kakitangan PHSB terbabit secara serta-merta di bawah arahan Abdul Khalid bukan sahaja melanggar undang-undang pekerjaan tetapi amat tidak berperikemanusiaan.

"Ini benar-benar bercanggah dengan prinsip yang didukung oleh kerajaan PKR Selangor bahawa semua pekerja perlu dilayan dengan bermaruah.

"Pemecatan itu akan menyebabkan kakitangan terbabit mengalami masalah kewangan manakala pampasan dua bulan gaji hanya menambah penghinaan kepada mereka," ujarnya.

Sementara itu, bekas Setiausaha Sulit Menteri Besar Selangor, Faekah Husin sebagai reaksi kepada kenyataan Azmin di laman Twitternya hari ini menyifatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa tersebut sebagai 'ahli politik yang teruk'.

Beliau yang kini Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporated (MBI) turut mempertikaikan kenyataan Azmin itu dari segi kesahihannya.

"Bagaimana boleh dikatakan benar, beliau seorang ahli politik yang teruk," ujarnya.

© Utusan Melayu (M) Bhd