Bangun tapak penemuan fosil


BESUT - Lokasi penemuan fosil tumbuhan terbesar negara ini di tapak pembinaan Empangan Paya Peda, dekat Hulu Besut dijangka dibangunkan sebagai pusat kajian tersohor negara.

Adun Hulu Besut, Nawi Mohamad berkata, penemuan fosil yang dianggarkan berusia antara 350 hingga 270 juta tahun di Hulu Besut itu akan dipanjangkan  kepada kerajaan negeri.

Menurutnya, selaras dengan hasrat kerajaan negeri khususnya menteri besar yang menggalakkan bidang kajian dan penerokaan baharu, sudah tentu penemuan fosil yang diusahakan Jabatan Minerel dan Geosains (JMG) itu akan menjadikan kawasan berkenaan lebih popular.

“Perbincangan akan dilakukan dengan pihak JMG untuk memastikan kawasan tersebut menjadi tapak kajian terutama oleh pengkaji tempatan dan asing, pelajar universiti dan sekolah.

“Sekali gus kawasan itu akan menjadi daya tarikan pelancong selain keindahan alam semula jadi yang cantik selepas empangan itu siap kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika diminta mengulas mengenai penemuan fosil tumbuhan oleh seorang jurutera perunding Empangan Paya Peda sebelum dimaklumkan kepada JMG kira-kira dua tahun lalu.

Bagaimanapun hasil penyelidikan pakar kaji bumi JMG mendapati, pada bulan lalu terdapat banyak fosil tumbuhan dijumpai di situ yang merupakan rekod penemuan di negara ini.

Sementara itu, Nawi yang juga Pengerusi  Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri berkata, projek pembinaan empangan membabitkan kos dianggarkan RM333 juta itu yang bermula pada 2011 dijangka siap akhir tahun  ini.

Menurutnya, kerja-kerja membina empangan sedang giat dilakukan oleh kontraktor dan hampir 70 peratus siap.

“Empangan yang mampu menakung 168 juta meter padu air itu merupakan takungan air terbesar di daerah ini bertujuan membekalkan air kepada 2,759 pesawah dalam Skim Pengairan Besut selain dapat dimanfaatkan sebagai sumber bekalan air bersih kepada penduduk, kegiatan industri pelancongan di samping mengatasi masalah banjir,” katanya.