Lawatan Antartika bukan makan angin


SEPANG - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menafikan lawatan beliau ke Antartika dari 24 hingga 30 Januari lalu sebagai lawatan makan angin.

Sebaliknya, Ahmad berkata, lawatan beliau selaku ketua rombongan berserta enam peserta lawatan lain adalah atas undangan Institut Penyelidikan Antartika Chile (Inach).

“Kami ke sana atas undangan mereka dan sebab itu kami dibenarkan menggunakan kapal tentera laut mereka. Apa yang boleh saya katakan, kesemua peserta berdepan dengan pengalaman yang bukan mudah.

“Sepanjang di sana, kami perlu bersabung nyawa kerana keadaan cuaca yang terlalu ekstrem, malah perlu berpuasa selama dua hari kerana tidak dapat keluar dari kapal. Jika saya diberi pilihan makan angin, lebih baik saya pergi ke tempat lain,” katanya dalam sidang media sempena kepulangan rombongan lawatan ke Antartika, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan sesetengah pihak termasuk pembangkang yang persoalkan lawatan ke benua Antartika yang dianggap sebagai membazir.

Sementara itu, mengulas lanjut hasil lawatan tersebut, Ahmad berkata, ia merupakan satu langkah ke hadapan bagi saintis Malaysia meningkatkan penyelidikan di Antartika.

Katanya, rombongan telah berkesempatan melawat beberapa stesen penyelidikan di Semenanjung Antartika.

“Di sana, kami telah diberi taklimat mengenai kompleksiti dari segi logistik, persekitaran dan mobiliti yang penting dalam melaksanakan kajian di Malaysia. Lawatan ini membolehkan delegasi Malaysia mendapat maklumat secara lengkap mengenai kepentingan penyelidikan saintifik dan kerjasama antarabangsa di Antartika.

“Kita telah dapat mendalami beberapa faktor kritikal yang perlu diberi pertimbangan bagi optimumkan penggunaan sumber secara efisien di Antartika. Malah, NARC juga telah menandatangani MoU dengan Inach dan mereka menyatakan kesediaan untuk berkongsi sumber penyelidikan dengan saintis Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, jenis kajian yang boleh difokuskan oleh Malaysia di Antartika bergantung kepada saintis kita.

“Apa yang pasti, ini peluang yang baik untuk saintis kita menjelajah demi ilmu pengetahuan seperti yang telah disarankan dalam Islam. Lebih-lebih lagi Antartika kini masih belum menjadi milik mana-mana negara.

“Mungkin di masa depan, kita akan kekurangan sumber. Tetapi dengan penyelidikan saintis kita di sana boleh atasi masalah ini,” katanya.

Sementara itu, katanya, sebagai susulan, satu seminar bersama di antara Malaysia dan Chile akan dianjurkan Ogos ini bagi mempertingkatkan lagi kehadiran Malaysia dari sudut saintifik di benua Antartika.

--Sinar